Keracunan tidak kritikal punca keluarga tidak dimaklumkan

Keracunan tidak kritikal punca keluarga tidak dimaklumkan

KENYATAAN rasmi oleh Sekolah Izzuddin Shah berkaitan kes keracunan makanan di sekolah itu yang tular di media sosial hari ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keracunan makanan dialami pelajar Sekolah Izzuddin Shah dekat sini, didiagnosis sebagai tidak kritikal oleh pegawai kesihatan.

Pengetua sekolah, Ahmad Munawir Salehuddin berkata, pengesahan itu menyebabkan pentadbiran sekolah tidak menghubungi ibu bapa atau penjaga pelajar terlibat untuk memaklumkan kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan sewajarnya telah diambil pengurusan sekolah termasuk memaklumkan kepada polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan pemantauan oleh warden asrama.

Malah, katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke sekolah untuk membuat siasatan dengan membuat pemeriksaan dapur, mengambil sampel makanan dan menilai tahap kebersihan.

“Sebagai menghormati jabatan rasmi kerajaan yang sedang menjalankan siasatan, pihak sekolah tidak boleh membuat sebarang kenyataan lain kepada pihak luar termasuk ibu bapa tanpa fakta tepat. 

“Kesilapan mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa sandaran fakta yang jelas akan mengundang masalah lain,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sekolah Izzuddin Shah, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak warden mengesan kes cirit-birit melibatkan seorang pelajar tingkatan empat Rabu lalu dan pelajar itu dirawat sebagai cirit-birit biasa.

Namun katanya, setelah tamat sesi persekolahan, kes bertambah yang mana warden telah mengasingkan mereka di bilik sakit dengan pemantauan rapi. 

“Pentadbiran sekolah telah mengumpul lagi pelajar-pelajar yang mengalami simptom sama untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Greentown. Urusan membawa pelajar dengan simptom tersebut selesai pada Khamis. Pelajar-pelajar ini telah didiagnosis oleh doktor sebagai tidak kritikal dan diberi cuti sakit sehari,” katanya.

Beliau memberitahu, pihak sekolah mempunyai standard pengurusan bencana yang jelas dan sentiasa dipantau oleh agensi-agensi luar.

“Oleh sebab itu, sebarang bencana yang berlaku tidak disimpan dan dirahsiakan apabila pihak kesihatan terus dimaklumkan pada keesokan harinya. Pihak sekolah berharap agar ibu bapa terus percaya pada pengurusan sekolah mahu pun warden yang sentiasa memantau kesihatan pelajar,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial kenyataan bapa seorang pelajar yang kesal apabila tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar di bilik sakit sekolah selama tiga hari sejak Rabu akibat keracunan makanan.

Perkara itu hanya diketahui selepas anaknya sendiri menghubunginya pada Jumaat lepas setelah keadaan beransur pulih. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN