KUALA LUMPUR: Tindakan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) memohon untuk menjadi pencelah dalam petisyen perceraian Loh Siew Hong dan bekas suaminya bukanlah untuk menjadi `busybody’ tetapi demi menjaga kebajikan tiga anak pasangan itu yang telah ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka.
Menurut peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili majlis agama tersebut, mereka tidak mencabar perintah hak penjagaan yang telah diberikan oleh mahkamah kepada wanita tersebut.
“Tetapi permohonan mencelah ini dibuat bagi membolehkan kami memohon perintah variasi (variation order) supaya kebajikan kanak-kanak mualaf ini terjaga. MAIPs mempunyai tanggungjawab statutori untuk menjaga kebajikan hal ehwal orang-orang Islam yang mana dalam hal ini membabitkan kanak-kanak bawah umur.
“Sekiranya mahkamah yang mendengar permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga kanak-kanak itu memutuskan bahawa pengislaman itu terbatal, maka MAIPs tidak lagi akan terlibat dalam kebajikan mereka,”ujar Mohamed Haniff.
Peguam terbabit menghujahkan demikian dalam pendengaran permohonan mencelah itu di dalam petisyen perceraian Sie Hong dan Muhammad Nagahswaran Muniandy di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Turut mewakili MAIPs ialah Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Turut hadir pada pendengaran itu ialah peguam-peguam, A. Srimurugan dan Dr. Shamsher Singh Thind yang mewakili Siew Hong selaku responden dalam permohonan tersebut.
Sementara itu, Srimurugan ketika berhujah menyatakan permohonan tersebut tidak boleh dimulakan kerana petisyen perceraian tersebut telah selesai mahkamah pada tahun lalu memutuskan hak penjagaan penuh diberikan kepada Siew Hong.
Tambahnya, MAIPs bukanlah individu yang berkepentingan seperti suami, isteri atau ahli keluarga terdekat sebaliknya satu badan yang menjaga hal ehwal agama Islam dan tidak mempunyai bidang kuasa dalam perceraian mereka yang bukan beragama Islam.
Hakim Evrol Mariette Peters selepas mendengar hujah kedua-dua pihak menetapkan 15 Jun ini untuk keputusan permohonan MAIPs itu.
Pada 7 Mac lalu, MAIPs memfailkan permohonan sebagai pencelah itu atas alasan supaya MAIPs mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga kanak-kanak berkenaan selain sokongan dalam bentuk kewangan daripada dana zakat serta bantuan lain yang dibenarkan syarak melalui ibu mereka sendiri.
Pada 21 Februari lalu, tiga beradik yang terdiri daripada kembar perempuan berusia 14 dan seorang lelaki berusia 10 tahun yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta merta kepada wanita itu selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.
Pada 25 Mac lalu, Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Azri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.
Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.
Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.
Nagahswaran didakwa telah melarikan ketiga-tiga anak tersebut sebelum menempatkan mereka di sebuah pusat jagaan badan bukan kerajaan (NGO) walaupun Siew Hong mendapat hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.
Nagahswaran kini sedang menjalani hukuman penjara di Kelantan atas kesalahan jenayah. –UTUSAN
Habis…