Keputusan Mawar ketepi penghakiman ingkar 29 Julai - Utusan Malaysia

Keputusan Mawar ketepi penghakiman ingkar 29 Julai

MAWAR KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan usahawan, Mawar Karim untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang dikenakan terhadapnya selepas dikatakan gagal membayar pinjaman sebanyak RM720,000 akan diputuskan Mahkamah Sesyen Bangi pada 29 Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili Mawar selepas pendengaran permohonan itu dalam kamar Hakim Effandi Nazila Abdullah di sini hari ini.

Perkara itu turut disahkan peguam Nik Zarith Nik Moustpha mewakili usahawan Nabil Mat Jahya yang merupakan plaintif dalam kes saman itu.

Pada 11 Januari lalu, Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonan penghakiman ingkar oleh Nabil selepas Mawar gagal merekodkan kehadirannya dalam saman yang difailkan lelaki berkenaan.

Menurut afidavit sokongan yang diperoleh melalui carian mahkamah, Mawar menyatakan dia tidak pernah menerima sebarang notis berhubung penghakiman ingkar tersebut.

“Saya telah mengambil tindakan segera untuk melantik dan mendapatkan nasihat peguam berkaitan kes ini setelah mendapat tahu daripada rakan-rakan dan juga media massa sejak beberapa hari lalu yang mengatakan bahawa kononnya saya sedang berhadapan dengan risiko kebankrapan,” kata Mawar dalam afidavit sokongan itu.

Pada 19 April lalu, peguam-peguam mewakili Mawar dalam satu kenyataan menyatakan anak guam mereka itu bukanlah seorang bankrap dan tiada sebarang notis kebankrapan diterima wanita terbabit.

Sementara itu, berdasarkan pernyataan tuntutan Nabil, lelaki terbabit telah menyerahkan RM720,000 kepada Mawar selepas Perjanjian Pinjaman Persahabatan (friendly loan agreement) yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh mereka.

Menurut perjanjian itu, Mawar selaku defendan perlu membayar ansuran sebanyak RM100,000 pada setiap 1 haribulan setiap bulan bermula 1 Jun 2021 manakala bagi bulan terakhir, wanita itu perlu membayar RM120,000.

Defendan bagaimanapun gagal untuk membayar balik keseluruhan pinjaman itu seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut.

Mawar dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau tidak pernah meminjam wang berjumlah RM720,000 daripada plaintif, sebaliknya individu sebenar yang berurusan memberikan pinjaman kewangan kepadanya untuk tujuan pusingan modal perniagaan adalah seorang individu lain bernama Sayed Amir Muzakkir Al Sayed Mohamad. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya