Kepimpinan PH perlu ajak Pas, Bersatu dalam ‘khemah besar’ - Utusan Malaysia

Kepimpinan PH perlu ajak Pas, Bersatu dalam ‘khemah besar’

SALAHUDDIN Ayub beramah mesra dengan pengamal media Johor selepas mengadakan majlis berbuka puasa di Hotel KSL, Johor Bahru, di sini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) agar tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurutnya, langkah kerjasama dalam inisiatif khemah besar itu penting bagi memastikan blok pembangkang dapat berdepan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu.

“Kita memang dalam usaha untuk bertemu dengan semua pembangkang, perbincangan boleh berjalan sama ada secara formal atau tidak formal. Konsep khemah besar ini adalah satu resolusi yang diputuskan PH di Port Dickson, April tahun lalu.

“Perbincangan ini termasuklah dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tidak salah untuk kita bertemu dan berbincang, tidak elok sekiranya kita terus bermusuhan jadi jumpa dan bincang dahulu. Pemimpin politik pembangkang khususnya perlu fokus kepada kesepaduan, ambil sifat Nabi memaafkan dan tidak lagi ungkit masa lalu sebaliknya cari kesepakatan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Hotel KSL, di sini semalam.

Tambah Ahli Parlimen Pulai itu, walaupun ada kenyataan dibuat kepimpinan parti-parti komponen dalam PH bahawa mereka enggan bekerjasama dengan ‘pengkhianat’, namun harus diakui langkah sebaliknya perlu dilaksanakan.

“Sebagai orang politik saya yakin ia boleh direalisasikan, jangan cepat putus asa di tengah jalan, jika hari ini bincang tidak selesai kita bincang lagi beberapa kali, jadi orang politik tidak boleh cepat merajuk.

“Perkara ini perlu ada kesungguhan, komitmen dan semangat untuk dilaksana dan saya percaya kita masih ada masa untuk menjalin kerjasama, jadi jangan cepat putus asa. Walaupun dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini kita gagal laksana, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh laksanakan menjelang PRU-15 akan datang,” jelasnya.

Tambah Salahuddin, pihaknya percaya blok pembangkang mempunyai peluang besar untuk menewaskan BN sekiranya perlawanan adalah melibatkan satu lawan satu.

“Hal ini boleh dilihat dalam PRN Johor yang lalu, berdasarkan statistik, jika semua blok pembangkang bekerjasama, UMNO dan BN hanya boleh menang 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja daripada keseluruhan 56 kerusi. Jadi marilah kita semua (pembangkang) bekerjasama dan memulihkan keyakinan rakyat menjelang PRU akan datang yang dijangka tidak lama lagi ini,” tambahnya.

Terdahulu, beberapa kepimpinan parti komponen PH menyatakan keengganan untuk melibatkan sama ada Pas dan Bersatu dalam konsep khemah besar yang dipelopori mereka, ini termasuklah Presiden Amanah sendiri iaitu Mohamad Sabu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya