Kembangkan pendidikan prasekolah di semua sekolah rendah

Kembangkan pendidikan prasekolah di semua sekolah rendah

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diseru terus memperkembangkan sektor pendidikan prasekolah dengan menambah kelas prasekolah di semua sekolah rendah di bawah kementerian.  

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, dalam masa sama, kementerian disaran memberi tawaran kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak Kanak (ISMP PAKK) yang berminat untuk menjadi pendidik. 

“Inilah usaha paling efektif untuk memastikan penyertaan sejagat dan enrolmen penuh daripada peringkat prasekolah ke peringkat sekolah menengah atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, penambahan bilangan guru prasekolah dapat membuka lebih banyak kelas prasekolah di semua sekolah rendah. 

Menurut beliau, langkah ini bagi menjamin penyertaan meluas semua kanak-kanak, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara.

“Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing,” katanya. 

Beliau memberitahu, kementerian di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke atas di institusi pendidikan prasekolah yang dikendalikan oleh kementerian.

Pada tahun 2019, tambahnya, kelas prasekolah di institusi kementerian meningkat dari 9,366 ke 9,465 kelas, manakala kelas prasekolah terus meningkat ke 9,609 pada tahun 2020.

Namun begitu, jelas beliau, bilangan kelas prasekolah tidak meningkat secara begitu mendadak selepas Langkah Sheraton dengan bilangan kelas prasekolah hanya meningkat ke 9,651 pada 2021. 

Bukan itu sahaja, ujarnya, enrolmen murid prasekolah juga telah merosot dari 207,737 orang murid pada tahun 2020 ke 200,143 orang murid pada tahun 2021. 

“(Ini adalah) satu kemerosotan yang amat membimbangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya