KUANTAN: Jika peniaga lain menggunakan peralatan elektrik, seorang warga emas di sini lebih gemar menggunakan sabut kelapa dan kayu arang untuk menghasilkan kuih-muih tradisional.
Kelainan itu menyebabkan juadah yang dihasilkan seperti kuih bakar, akok dan bingka menjadi pilihan dalam kalangan pelanggan, malah mampu dijual sehingga 1,000 biji sehari sepanjang Ramadan.
Khatijah Ali, 70, ketika ditemui berkata, dia menjalankan perniagaan makanan tradisional itu sejak lebih 25 tahun lalu.
“Setiap hari, saya mampu menjual 500 biji kuih bakar, akok 400 biji dan ditambah dengan jualan kuih bingka menjadikannya sebanyak 1,000 biji.
“Sekiranya hari cuti, jumlah tempahan bertambah disebabkan pelanggan semakin ramai mengunjungi kedai,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Balok Baru, semalam.
Khatijah yang lebih dikenali sebagai Che Ngah berkata, walaupun terdapat pelbagai peralatan elektrik dijual dan lebih mudah, namun dia lebih selesa membakar dengan cara tradisional.
Katanya, penggunaan sabut kelapa dan kayu arang memberikan aroma yang lebih sedap apabila melekat pada kuih-kuih yang dibakar.
“Kebanyakan pelanggan berpuas hati kerana melihat sendiri cara saya membakar kuih ini. Pelanggan kata, kuih yang saya hasilkan lemak, lembut dan manis mampu membuka selera ketika berbuka,” katanya.
Dalam pada itu Che Ngah berkata, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah dan orang kenamaan Pahang juga antara pelanggan tetapnya.
“Baginda dan kaum kerabat sering menempah kuih daripada saya yang antara juadah yang digemari tuanku baginda adalah bingka,” katanya.
Seorang lagi peniaga kuih bakar tradisional, Mohd. Zakaria Osman, 24, berkata, penjualan kuih bakar di bulan Ramadan lebih banyak berbanding bulan biasa iaitu antara 300 ke 400 biji sehari.
Kata anak muda itu, permintaan luar biasa berkenaan diterima setiap kali bulan Ramadan dan mengakui tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
“Perniagaan ini diusahakan sendiri selepas mempelajari cara-cara pembuatan daripada ibu, empat tahun lalu.
“Sambutan yang tinggi dan menggalakkan dalam kalangan pembeli menyebabkan saya masih lagi mengekalkan pembakaran mengikut cara lama, kerana ia lebih beraromatik.
“Ramai pelanggan yang datang bukan sahaja dari daerah ini , tetapi Johor Bahru, Terengganu dan satu masa dulu seorang pelanggan dari Singapura yang sanggup memandu jauh bagi mendapatkan kuih bakar saya,” katanya. – UTUSAN