Kehadiran Jho Low tidak dipertikai ahli lembaga pengarah - Saksi

Kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB tidak dipertikai ahli lembaga pengarah – Saksi

ISMEE Ismail hadir pada perbicaraan kes Najib Tun Razak berhubung pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009, tidak dipertikai oleh ahli lembaga pengarahnya.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail berkata, tiada seorang pun yang mempersoal bagaimana Jho Low boleh menerima jemputan menghadiri mesyuarat sulit yang sepatutnya hanya disertai oleh pengurusan tertinggi.

Menurut saksi pendakwaan ke-13, sepanjang pengetahuannya, Jho Low bagaimanapun hanya mendiamkan diri pada mesyuarat itu dan beredar tanpa menunggu sehingga sesi selesai.

“Kamu hadir pada mesyuarat itu, pengerusi juga sepatutnya bertanya bagaimana Jho Low boleh berada di situ sedangkan mesyuarat itu sulit,” pertikai peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas.

Dalam satu perbicaraan lain, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh memberi keterangan bahawa Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah diminta oleh Datuk Seri Najib Tun Razak agar memfokus kepada cadangan usaha sama di antara syarikat pelaburan strategik negara dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Mohd. Bakke berkata, perkara berkenaan disampaikan kepadanya oleh bekas Perdana Menteri melalui panggilan telefon selepas beliau (Najib) selesai bercakap dengan Jho Low sebelum mesyuarat berlangsung.

Menjawab soalan peguam bela pada prosiding hari ini, Ismee berkata, Mohd. Bakke kemudian memaklumkan saranan Najib kepada ahli lembaga pengarah yang bermesyuarat.

Menjawab soalan pembelaan, Ismee berkata, berdasarkan minit mesyuarat, Jho Low tidak menyumbang apa-apa (bercakap) atau memberi penjelasan pada sesi tersebut yang diadakan di sebuah hotel di Damansara pada 26 September 2009.

Menurut Ismee, senarai kehadiran mesyuarat ditandatangani oleh semua ahli lembaga pengarah namun tanda tangan ringkas Jho Low tidak ditemui di dalamnya.

Muhammad Shafee berkata, ahli perniagaan dalam buruan itu sepatutnya menurunkan tanda tangan ringkasnya dalam senarai tersebut kerana dia hadir pada mesyuarat berkenaan.

Peguam itu kemudian menarik perhatian mahkamah berhubung aduan bahawa nama Jho Low telah dipadam daripada senarai kehadiran.

Bagaimanapun, Ismee menyatakan beliau tidak mengetahui jika terdapat pihak yang diberi kuasa memadam nama Jho Low.

Ismee memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya