Kedudukan PM tidak tergugat walaupun MoU berakhir

Kedudukan PM tidak tergugat walaupun MoU berakhir

ANNUAR Musa (kanan) menyampaikan sepersalinan baju Melayu ketika menziarah Seniman Mat Sentol di kediamannya di Jalan Rajawali, Larkin, Johor Bahru hari ini. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaannya tidak tergugat dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu tidak timbul kerana sokongan diberikan Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri tidak berkaitan dengan MoU berkenaan.

Sebaliknya menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, sehingga kini Perdana Menteri masih terus mendapat sokongan dan dukungan daripada parti kerajaan campuran dan juga blok pembangkang.

“Saya nampak ada kebijaksanaannya apabila MoU ini tidak lagi disambung, itu bukan bermakna pembangkang tidak boleh sokong Perdana Menteri tetapi sebaliknya Perdana Menteri tidak lagi terikat dan beliau boleh ambil tindakan yang memang tanggungjawabnya termasuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

“Jadi dengan tiada ikatan bertulis yang tidak membolehkan perkara itu dilakukan. Ini adalah kebijaksanaan MKT UMNO yang memberi lebih kebebasan kepada Perdana Menteri, mandat juga telah diberikan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dahulu.

“Bagi saya sendiri, sebagai anggota parti dan setelah parti membuat keputusan sama ada di peringkat PAU mahupun MKT, kita harus akur,” katanya kepada pemberita selepas menziarah seniman veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rashid Yahya di Jalan Rajawali, Larkin, di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan, UMNO memutuskan bahawa MoU yang dimeterai antara kerajaan dan PH yang akan berakhir 31 Julai ini tidak diteruskan. Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Sementara itu, Annuar turut memaklumkan kini sudah memasuki tempoh tahun kelima bagi penggal Parlimen ke-14 dan kebiasaannya pada tahun berkenaan Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan.

“Lazimnya PRU akan diadakan pada tahun kelima, bulan berapa itu terpulang kepada keputusan Perdana Menteri, namun kebiasaannya ia akan dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesediaan parti dan juga keadaan semasa rakyat dan negara.

“Tetapi saya rasa sudah tiba masanya semua pihak membuat persediaan masing-masing kerana masanya sudah tidak terlalu lama, apapun keputusan akhir akan ditentukan Perdana Menteri nanti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya