IPOH: Jeritan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menjadi penyelamat ibu dan bapa serta adik lelakinya daripada menjadi mangsa kebakaran di rumah mereka di Taman Meru 2B, di sini, malam tadi.
Difahamkan, kanak-kanak itu, Sofea Umairah Muhammad Fadzril mengejutkan ibunya yang sedang tidur selepas mengalami kesukaran bernafas ekoran asap tebal.
Jiran mangsa, Nik Rozita Mohd. Yusof, 37, berkata, dia menyedari kejadian setelah terdengar jeritan ibu kanak-kanak itu, Nurul Asyikin Mohamed Razali, 26, meminta tolong dari rumah sebelah.
Katanya, dia segera memanggil suami dan jiran lain untuk bantuan namun asap tebal menyukarkan mereka melihat Nurul Asyikin yang tidak dapat keluar selepas gagal mencari kunci pintu rumah.
“Beberapa jiran memecahkan pintu dan jeriji besi untuk membawa Nurul Asyikin dan Sofea keluar. Ketika itu, Fadzril dan anak lelakinya masih berada di dalam rumah. Seorang jiran masuk ke dalam untuk menyelamatkan mereka namun terpaksa keluar semula ekoran asap tebal disertai bunyi letupan.
“Cubaan kali kedua pula tidak menjumpai Harraz di atas katil dan kanak-kanak itu hanya disedari berada di bawah katil selepas jiran ‘terpijak’ bahagian tubuh kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurutnya, Fadzril yang terperangkap di dalam rumah berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba dengan kesan melecur di badan.
Katanya, kebakaran itu turut menyebabkan rumahnya musnah pada kadar 50 peratus dengan banyak peralatan elektrik rosak selain bumbung.
“Saya belum tengok lagi keadaan di dalam bagaimana, apa yang pasti bumbung memang banyak yang rosak. Perkakasan raya yang disimpan di dalam almari pun tidak tahu keadaannya bagaimana,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 malam itu, Muhammad Fadzril Husaini, 32, yang dijumpai anggota bomba berhampiran bilik air mengalami kesan lecur tahap tiga di badan manakala Nurul Asyikin melecur di muka dan tangan selain Sofea Umairah pula dengan kesan melecur di kaki.
Kebakaran itu turut melibatkan tiga rumah lain dengan anggaran kemusnahan masing-masing sebanyak 60 peratus dan 5 peratus. – UTUSAN