SIK: Enam sekeluarga berhadapan ujian besar dalam bulan Ramadan apabila tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang diduduki sejak lapan tahun lalu hangus dalam kebakaran di Kampung Lubuk Besar di sini Rabu lalu.
Menurut mangsa, Mohamad Masri Mat Isa, 38, dia tidak menduga rumahnya terbakar ketika keluarganya terutama anak-anaknya gembira menyambut Ramadan pada tahun ini.
Katanya, dia bersama isteri, Normah Ahmad, 36, dan anak-anaknya, Muhammad Shahrul Ikhmal, 14, Nursalsabila, 12, Muhammad Shazlanshah, 7, dan Nur Syifabella, 5 bulan, hanya sempat berbuka puasa selama empat hari di rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Besar, di sini semalam.
Mohamad Masri yang bekerja kampung memberitahu, dia bersyukur kebakaran yang berlaku 9.30 pagi itu berlaku ketika ahli keluarganya tiada di rumah.
Katanya, ketika kejadian yang dipercayai berpunca daripada litar pintas, dia keluar kerja menanam pokok kelapa sawit dan isterinya yang merupakan suri rumah pula mengikuti perjumpaan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di kampung tersebut dengan membawa bersama Nur Syifabella.
Tambahnya yang menumpang di rumah kakaknya yang tinggal berdekatan, anak-anak-nya yang lain pula ada di sekolah masing-masing iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Hujung Bandar dan Sekolah
Menengah Agama (SMA) Irsyadiah, Jeneri di sini.
Sementara itu, kesedihan keluarga tersebut terubat apabila Pengarah Urusan Persiaran Raja Sakti, Datuk Ardanan Dollah bersama pegawai AIM Sik mengunjungi keluarga tersebut untuk menyampaikan bantuan.
“Saya percaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak ketinggalan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Sik.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut boleh menghubungi Mohamad Masri di talian 019-5244677. – UTUSAN