SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan Mushaf Al-Quran edisi terkini dengan beberapa pembaharuan selaras perkembangan semasa.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kali terakhir Mushaf Al-Quran diterbitkan adalah pada tahun 2014.
Beliau berkata, mushaf terbitan KDN pada kali ini membawa beberapa pembaharuan selaras dengan perkembangan semasa seperti tanda-tanda hukum berwarna.
“Ia bukan untuk kelihatan cantik semata-mata, tetapi berfungsi sebagai panduan bacaan bertajwid yang lancar dan betul.
“Edisi terkini mengandungi keenam-enam hukum tajwid berwarna sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan bagi pewarnaan tajwid dan diberi nilai tambah berupa warna untuk waqaf (berhenti dan teruskan bacaan) dan ibtida’ (berhenti dan ulang bacaan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga KDN, di sini hari ini.
Katanya, beliau sangat yakin penambahbaikan ini dapat memudahkan orang ramai membaca al-Quran dengan tajwid serta bacaan yang tepat.
Hamzah berkata, beliau memberi jaminan bahawa mushaf ini telah melalui semua proses semakan dan perakuan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Qur’an seperti termaktub dalam Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986.
Menurutnya, mushaf ini akan menjadi penanda aras atau model kepada pemain-pemain industri pencetakan dan penerbitan al-Quran.
“Selain itu, Mushaf al-Quran ini juga bukan sahaja dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga kerja, bahkan mempercepatkan keseluruhan proses semakan dan penerbitan al-Quran.
“Kerjasama strategik antara KDN dengan syarikat-syarikat penerbitan, kerajaan negeri dan pemegang taruh akan merancakkan semula industri pencetakan dan penerbitan di negara ini,” katanya. – UTUSAN