ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas ditimpa batu tiang pagar rumahnya dalam kejadian di Kampung Bukit Nangka di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu mangsa, Nur Iman Irdina, 4, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika keluarga mangsa sedang melakukan persiapan berbuka puasa, sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah.
“Apabila si ibu keluar, dia mendapati anaknya berada dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di bahagian kepala.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, batu pagar berkenaan dipercayai telah mengenai bahagian tengkuk mangsa dan menjadi punca kematiannya.
“Bedah siasat telah dijalankan dan sebab kematian adalah kesan hentakan yang kuat dari objek keras di tengkuknya.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya. – UTUSAN