Kambing ‘bernama’ bawa tuah

Kambing ‘bernama’ bawa tuah

AZROY Abdul Manaf menunjukkan seekor anak kambing yang diberi nama Zuhaily yang terkenal dalam kalangan pengikutnya di media sosial ketika ditemubual di Kandang Temasik Agro Batu 9, Kampung Sungai Salak Tambahan, Gombak, Selangor, semalam. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Damia, Kamaruddin, Sumaiyah, Mikayla, Daniel dan Aiman. Demikian antara nama ‘anak-anak’ yang dimiliki Azroy Abdul Manaf, 38, di sebuah ladang ternakan kambing di Temasik Agro dekat Batu 9 di sini.

Bagaimanapun, nama-nama yang sering ‘dijeritnya’ itu bukanlah nama kanak-kanak, tetapi sebilangan kambing yang dibelanya dan sentiasa menjadi bahan hiburan warganet di aplikasi TikTok, menggunakan nama akaun @kambingyanganeh.

Kisah si gangster Kamaruddin ‘kaki langgar’ dan ‘membuli’ Mikayla melalui video ringkas di TikTok antara yang mencuri perhatian, sehinggakan ramai yang sentiasa menunggu-nunggu apakah cerita menarik yang akan Azroy ceritakan mengenai perangai ternakan peliharaannya itu.

Begitu juga kisah di Daniel ‘test vocal’ (uji suara) yang Azroy label sebagai ‘bunyi seburuk rupa’ membuatkan sesiapa yang menonton video itu ketawa berdekah-dekah.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di ladang ternakannya baru-baru ini, Azroy memberitahu, impak daripada binatang peliharaan yang diberikan nama dan tular dalam lama media sosial, perniagaannya menghadapi perubahan ‘luar biasa’.

“Permintaan meningkat dengan drastik hingga kandang saya berkembang pesat,” katanya.

Azroy berkata, dia tidak menyangka yang dahulunya hobi membela ternakan itu untuk mengisi masa lapang, kini menjadi titik permulaan kejayaannya sebagai penternak di era teknologi ini.

“Saya dahulu bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat permotoran selama 12 tahun, dalam waktu sama saya mempunyai hobi membela kambing sekadar untuk mengisi masa lapang dan melepaskan tekanan selepas penat bekerja.

“Tetapi saban hari haiwan ternakan saya semakin bertambah jadi saya putuskan dari sekadar hobi berubah menjadi kerjaya sepenuh masa sejak 2017 dan meninggalkan industri sebelum ini untuk beri fokus sepenuhnya pada kerjaya sekarang,” katanya.

Menurutnya, selepas video ternakannya yang diberi nama ‘Kamaruddin’ tular di laman sosial TikTok sehingga menerima lebih 348,900 pengikut selepas haiwan berkenaan menjadi watak utama digemari pengguna aplikasi tersebut.

“Alhamdulilah selepas tularnya video awal mengenai kambing yang menjadi watak utama di sini iaitu ‘Kamaruddin’, ladang saya menjadi semakin dikenali, jadi permintaan kambing meningkat dengan drastik dalam membantu perniagaan saya.

“Kambing-kambing yang mempunyai nama di sini sememangnya membawa tuah kepada saya, kalau dahulu permintaan  ternakan ini saya hanya ada untuk program akikah dan katering tetapi semenjak tular permintaan bukan hanya pada dua perkara itu tetapi ada yang tempah untuk buat makan-makan, penternak lain beli sebagai bekalan mereka, malah ada ingin menjadikan haiwan belaan,” jelasnya.

Azroy menjelaskan bahawa kambing bernama ‘Kamaruddin’ itu mempunyai keunikan tersendiri apabila tidak mahu memakan makanan kambing seperti ternakannya yang lain tetapi mahu makan makanan manusia.

“Kamaruddin ni unik sedikit, dia tak mahu makan makanan kambing macam kawan-kawan dia, nak makan makanan seperti roti, kuih dan sebagainya. Untuk satu hari, sebanyak empat bungkusan roti untuk dia sahaja,” katanya.

Bermula dengan dua ekor kambing, kini di ladang ternak Temasik Agro mempunyai lebih 200 ekor haiwan tersebut malah turut menternak lembu 30 ekor, ayam dan juga angsa yang diuruskan oleh dua pekerja.

Tambahnya, kambing ‘bernama’ sebanyak 30 ekor tidak akan dijual kerana ingin menghargai pengikut media sosialnya dan hanya akan menjual kambing tidak bernama sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya