KANGAR: Kabinet dikhabarkan telah memberi lampu hijau untuk membenarkan penanaman ketum dan hem untuk tujuan perubatan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Kabinet tidak mempunyai halangan mengenai perkara tersebut dan meminta pihaknya berbincang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai cara meluluskan tanaman itu.
Kata Ahli Parlimen Padang Besar itu, pihaknya yakin setelah proses tersebut dilakukan, Kabinet akan meluluskan ketum dan hem untuk tujuan perubatan tidak lama lagi.
“Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan cerah terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam bidang perubatan. Sekali lagi saya ingin diingatkan ini bukan lulus untuk minum air ketum sebaliknya untuk tujuan perubatan.
“Masyarakat jangan salah faham, kita luluskan ketum bukan untuk minum tetapi untuk jual kerana dapat ketum dan hemp permintaan yang tinggi di luar negara,” katanya ketika ditemui pada Program Nilai Setitik Darah 10.0 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan (medical cannabis) dan ketum akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dalam mesyuarat Kabinet.
Perkara itu disahkan oleh Kaukus Medical Cannabis setelah mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kaukus itu yang dipengerusikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertemuan tersebut membincangkan mengenai potensi industri tersebut dalam membantu bidang perubatan serta menjana ekonomi negara.
“Industri ini sedang giat dibangunkan oleh banyak negara luar. Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion. Malah Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk negara mereka.
“Kaukus Medical Cannabis percaya Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar dalam industri ini untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan mampu memberi manfaat besar,” katanya.
Sementara itu, Zahidi memberitahu, kebenaran menanam ketum untuk tujuan komersial turut dapat membantu masyarakat di luar bandar khususnya untuk meningkatkan taraf hidup memandangkan proses tanaman tersebut lebih mudah.
Menurutnya, ketum hanya memerlukan angin, matahari serta tanah dan tidak memerlukan baja namun mempunyai permintaan yang cukup tinggi di luar negara.
“Bagi hem pula, kita perlu tanam kerana antara sebab minyak sawit diboikot adalah kerana pihak luar menuduh kita menebang pokok dan menyebabkan perubahan iklim yang mana karbon dioksida tidak seimbang.
“Hem adalah sebahagian daripada program kredit karbon yang mana ia boleh menukar karbon dioksida kepada oksigen sebanyak tiga kali ganda. Jadi, kita boleh menolak balik tuduhan itu dengan penanaman hem,” jelasnya. – UTUSAN