PETALING JAYA: Sebuah syarikat menjual peralatan komunikasi dan pengarahnya didenda berjumlah RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan memiliki dan menjual dua unit Media Player TX yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dua tahun lalu.
Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian terhadap LC Marketing Network Media Sdn. Bhd. dan pengarahnya, Chen Kaiyi, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas kedua-dua pihak mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan.
Mahkamah memerintahkan pengarah dan syarikat itu masing-masing didenda RM5,000 atau penjara sebulan selepas mengambil kira representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Jamaludin turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kedua-dua barang kes itu diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilucut hak kepada SKMM.
Terdahulu, peguam Jay Moy Wei Juin memaklumkan, representasi yang dihantar sebelum ini telah diterima oleh pihak pendakwaan dan cadangan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan jika OKS mengekalkan pengakuan bersalah dan bersetuju dengan fakta kes.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa dari SKMM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman yang sesuai dengan pengakuan bersalah.
Kedua-dua pihak didakwa pada 4 April lalu manakala hari ini ditetapkan untuk pengemukaan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu dan pengarahnya didakwa memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu dua unit Wireless Media Player masing-masing jenama TX3 model TX3 mini-L dan TX6 model TX6H.
Kesemua kesalahan dilakukan di sebuah kedai menjual komputer Seksyen 14 di sini pukul 12.57 tengahari, 26 Jun 2020 dan pukul 11 pagi, 4 Mei 2021.
Kedua-duanya didakwa di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan saman.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, seorang pegawai dari SIRIM telah membuat pemeriksaan ke atas peralatan komunikasi itu dan mendapati ia tidak diperakui selain hasil siasatan mendapati bahawa peralatan komunikasi tersebut juga tidak diperakui MCMC atau mana-mana agensi pemerakuan berdaftar yang lain. – UTUSAN