Jual makanan tamat tempoh elak rugi - Utusan Malaysia

Jual makanan tamat tempoh elak rugi

DR. Noorhaida Ujang menunjukkan makanan yang telah mencapai tarikh luput dalam serbuan Op Lak dan Sita yang diadakan di pasar raya di sekitar Muar. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pura-pura tidak perasan makanan yang dijual telah tamat tempoh menjadi alasan seorang pengurus pasar raya di daerah ini susulan serbuan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, semalam.

Dalam Operasi Lak dan Sita bersempena Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 237 makanan pek dan bertin yang telah tamat tempoh selain bungkusan rosak atau kemek serta kesalahan pada label makanan dikesan PKD Muar.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Noorhaida Ujang berkata, mereka memberikan alasan bahawa itu merupakan kecuaian pekerja hingga menyebabkan makanan telah rosak masih dijual dan diletakkan di rak.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita dapati terdapat makanan yang telah tamat tempoh masih terus dijual. Alasan diberikan penyelia adalah mereka telah mengarahkan pekerja untuk semakan tarikh luput, namun ia tidak dilakukan.

“Malah, ada makanan dalam tin yang jelas sudah kemek namun masih diletakkan di rak jualan. Kita tahu ia sebenarnya alasan kerana mereka mahu elak rugi jika makanan yang telah luput tarikh dihapuskan,” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan.

Justeru katanya, sebanyak tiga notis 32B dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan 14 (9)(b) iaitu makanan luput tarikh, Peraturan 11(1)(j) iaitu tiada nama dan alamat pengeluar pada label makanan serta kesalahan Peraturan 10 iaitu label yang tidak mengikut kehendak bahasa ditetapkan.

“Kesemua makanan itu disita dan ditahan di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983. Keseluruhan barang rampasan adalah sebanyak 237 kuantiti bernilai RM1,389 dan nilai kompaun keseluruhan dikeluarkan adalah sebanyak RM10,000,” katanya.

Menurut Dr. Noorhaida, kecuaian pihak pasar raya menjual makanan telah rosak adalah berikutan tiada mekanisme atau kaedah dilakukan untuk memeriksa tarikh luput bagi setiap barang.

“Pemeriksaan ini bertujuan memastikan makanan yang dibeli adalah selamat dimakan dan tidak memudaratkan kesihatan. Kita menasihati pengguna supaya memeriksa terlebih dahulu tarikh luput pada bungkusan makanan dan melihat keadaan fizikal makanan sebelum membuat pembelian.

“Pemilik premis juga diberikan pendidikan kesihatan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab. PKD akan bertindak bagi memastikan pasar raya di daerah ini mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya