Jual lepasi harga borong, tiga pembekal ayam dikompaun RM7,000

Jual lepasi harga borong, tiga pembekal ayam dikompaun RM7,000

PEGAWAI penguat kuasa mengeluarkan kompaun kepada pembekal ayam yang menjual ayam melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan di sekitar Perlis dan Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tiga pembekal ayam di negeri ini dan Kedah dikenakan kompaun keseluruhan RM7,000 kerana menjual ayam melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan.

Kompaun itu dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana menjual melebihi harga borong maksimum di bawah Penentuan Harga Maksimum (PHM) ayam.

Kerajaan menetapkan harga siling runcit bagi ayam standard RM8.90 sekilogram dan harga siling borong ayam standard pada harga RM7.60 melalui PHM ayam dan telur yang berkuat kuasa pada 5 Februari sehingga 5 Jun iaitu selama 121 hari.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Norazah Jaapar memberitahu, sebanyak dua pasukan membabitkan tujuh pegawai penguat kuasa negeri menjalankan pemeriksaan ke atas tiga syarikat pemborong ayam di Kuala Perlis, Bukit Pinang dan Simpang Empat, Kedah, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan, tiga tindakan kes yang dikompaun itu melibatkan kesalahan di bawah AKHAP 2011 kerana menjual melebihi harga borong maksimum di bawah PHM ayam.

Ujarnya, satu kes lain melibatkan kesalahan tidak memperbaharui lesen berniaga jual borong ayam.

“Pemeriksaan tersebut dilakukan lanjutan daripada pemeriksaan harian yang dijalankan kepada peruncit ayam di sekitar negeri ini yang mana didapati pemborong ayam berkenaan menjual ayam standard pada harga RM8.10 sekilogram kepada peruncit ayam.

“Ia sekali gus melebihi harga siling borong PHM ayam iaitu RM7.60 sekilogram yang diwartakan sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Norazah berkata, sepanjang pelaksanaan PHM, sebanyak 1,575 pemeriksaan dilakukan ke atas peruncit dan pemborong ayam di negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25 kes diambil tindakan dengan nilai kutipan kompaun berjumlah RM12,600.

“Diingatkan kepada semua pemborong dan peruncit ayam dan telur ayam untuk mematuhi harga ditetapkan di bawah penentuan harga maksimum ayam dan telur sepanjang PHM ini dikuatkuasakan.

“Pengguna boleh melaporkan sebarang aduan yang berkaitan dengan bidang kuasa di bawah KPDNHEP melalui saluran disediakan kementerian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya