Jual lebih 7,000 ketupat palas menjelang Aidilfitri

Jual lebih 7,000 ketupat palas menjelang Aidilfitri

ABDULLAH Mad Amin dan Ramlah Endut tidak menang tangan menyiapkan tempahan ketupat palas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri warga emas dari Kampung Surau Panjang di sini, yang mengusahakan perniagaan ketupat palas terpaksa menolak tempahan pelanggan kerana tidak dapat memenuhi permintaan yang meningkat hampir dua kali ganda pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Abdullah Mad Amin, 78, berkata, tempahan mula diterima sejak awal Ramadan lalu dan sehingga kini lebih 7,000 biji ketupat palas yang dihasilkan bersama isterinya, Ramlah Endut, 74, dijual.

Katanya, semua tempahan berkenaan lazimnya diambil sehari sebelum 1 Syawal sehinggakan mereka tidak menang tangan menyiapkan juadah raya untuk keluarga gara-gara perlu melayan pelanggan yang datang.

“Sebenarnya banyak lagi tempahan yang diterima tetapi terpaksa ditolak kerana kudrat tidak sekuat dahulu.

“Jualan kali ini bertambah hampir dua kali ganda berbanding semasa Aidilfitri tahun 2020 dan 2021 semasa kita beraya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan, di sini, semalam.

Abdullah berkata, perniagaan ketupat palas itu diusahakan sejak 1990-an bagi mencari wang tambahan untuk menyara 12 anak mereka selain pendapatan utama dengan menjual ikan.

Katanya, kaedah memasak masih menggunakan cara lama dengan menggunakan dapur kayu bagi menjadikan ketupat palas lebih lembut dan berlemak.

Menurutnya, selain ditempah penduduk tempatan, produk sejuk beku keluarannya turut mendapat permintaan di seluruh negara termasuk Singapura.

“Walaupun harga daun palas naik, kami tetap menjual ketupat ini pada harga sama iaitu RM45 untuk 100 biji kerana bukan keuntungan besar yang dicari, sebaliknya minat dan nilai sentimental kerjaya yang membolehkan kami membesarkan kesemua 12 anak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya