MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan menggerakkan pasukan Op Poket untuk melakukan sekatan jalan raya secara bergerak di 12 lokasi berasingan setiap hari sepanjang penguatkuasaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 22.
Pengarah JPJ negeri, Mohamad Firdaus Shariff berkata, Op Poket dijalankan untuk meningkatkan penguatkuasaan di jalan raya sehingga 75 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini.
Katanya, seramai 200 penguat kuasa akan berada di lapangan sepanjang Op HRA 22 termasuk bagi menjalankan Op Poket dan pemantauan lalu lintas, manakala 50 personel lagi akan bertugas di pejabat.
“Op HRA 22 ini akan dilaksanakan bermula 29 April sehingga 8 Mei dan kita akan meningkatkan penguatkuasaan di lapangan sehingga 75 peratus untuk memastikan semua pengguna mematuhi peraturan ditetapkan.
“Bagi tujuan itu, kita juga akan melaksanakan Op Poket yang dilakukan di laluan-laluan dalam, di mana pasukan pemeriksaan secara mobile ini akan bergerak ke 12 lokasi setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ, Bukit Katil, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Firdaus berkata, bagi operasi kali ini pihaknya akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama termasuk lima yang tidak boleh dikompaun jika diberikan notis.
“Lima kesalahan ini adalah tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan.
“Empat lagi kesalahan adalah memotong garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar, membawa lebih muatan dan membawa muatan bahaya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, seramai 50 anggota akan membuat penyamaran di tujuh depot bas ekspress dan sebagai penumpang untuk mengesan sebarang kesalahan sepanjang perjalanan termasuk ke Utara, Timur, Selatan dan zon tengah. – UTUSAN