Johor catat 424 kes denggi sejak 1 Januari - Utusan Malaysia

Johor catat 424 kes denggi sejak 1 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor merekodkan sebanyak 424 kes denggi pada tahun ini dengan daerah Johor Bahru menjadi penyumbang tertinggi apabila mencatatkan 292 kes yang direkodkan sehingga kini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah kumulatif kes yang direkodkan hingga 23 April itu menunjukkan penurunan berbanding 831 kes pada tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah kes yang dilaporkan, 95 kes dilaporkan dari lokaliti wabak manakala selebihnya dari lokaliti bukan wabak.

“Selepas Johor Bahru, Kulai mencatatkan 50 kes denggi diikuti Segamat (21), Kluang (19), Muar (13) dan Pontian (9). Kota Tinggi dan Batu Pahat masing-masing merekodkan lapan kes setakat ini manakala Mersing dan Tangkak masing-masing mencatatkan dua kes dengan jumlah keseluruhan 424 kes denggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tian Soon berkata, jumlah terkumpul lokaliti wabak pada tahun ini adalah sebanyak 32 kawasan berbanding 90 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu dan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan terus dijalankan oleh anggota kesihatan baik di luar mahupun di dalam rumah.

“Penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan di dalam rumah menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk Aedes. Sebanyak 1,289 kompaun nilai keseluruhan RM692,100 ditawarkan kepada pihak terlibat. Daripada jumlah tersebut, 56.2 peratus telah membayar kompaun diberikan,” katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu melakukan aktiviti mencari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes di tempat kerja dan di rumah, manakala mereka yang secara berterusan mempunyai simptom demam denggi seperti demam berterusan, cirit birit dan sakit badan walaupun diuji negatif Covid-19, dinasihatkan untuk menjalani ujian di fasiliti perubatan.

“Ancaman demam denggi masih ada dan relevan, tetapi orang ramai kini lebih suka tidak mengendahkannya kerana mereka lebih berjaga-jaga terhadap Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya