SEREMBAN: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS) mengesahkan Tarekat Naqsyabandiyah Al-Aliyah Sheikh Nazim Al-Haqqani merupakan tarekat yang berdaftar di negeri ini dan boleh diamalkan oleh pengikutnya.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, Tariqat Naqshabandiyah al-Aliyyah merupakan satu daripada tarekat yang berdaftar di bawah Enakmen Tarekat (Negeri Sembilan) 2005 dengan Nombor Pendaftaran JMKNNS BTT.070-2/1 (33).
“Hasil kajian yang dibuat oleh Anggota Jilsah alTuruq al-Sufiyyah Negeri Sembilan dan pemantauan yang dilakukan oleh jabatan ini terhadap majlis zikir serta aktiviti tarekat ini sama ada di Negeri Sembilan dan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur mendapati ia tidak bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan disiplin ilmu tarekat tasawuf.
“Hal ini diperkuatkan lagi dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-117 pada tahun 2020 yang telah mengkaji semula pengharaman tarekat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Yusof berkata, MKI telah memutuskan bahawa Tarekat Naqsyabandiyah Al-Aliyah Sheikh Nazim Al-Haqqani boleh diamalkan oleh pengikutnya dengan syarat amalannya tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Demikian juga, mana-mana tarekat boleh diamalkan dengan syarat ia tidak bertentangan dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Selain itu, dalam melaksanakan amalan tarekat, pengamal hendaklah memastikan tidak berlaku amalan dan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah, salah faham terhadap agama dan tidak bersesuaian dengan uruf setempat,” katanya.
Jelas beliau, keputusan itu merupakan keputusan bersama mufti-mufti seluruh negeri di Malaysia.
“Maka sebarang polemik terhadap tariqat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021,” kata Mohd. Yusof lagi.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI baru-baru ini bertitah berkaitan isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah, Syeikh Nazim al-Haqqani, keputusan muzakarah mengenainya telah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari tahun lalu.
Butiran penuh kepada keputusan muzakarah itu menurut baginda, boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April lalu.
Pengerusi MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menerusi kenyataan pada 8 April lalu berkata, Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenarkan untuk diamalkan oleh pengikutnya.
Jelasnya, ia selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat dan kebenaran itu diputuskan MKI kali ke-117 pada tahun 2020.
Bagaimanapun kata beliau, pelaksanaan keputusan MKI kali ke-177 itu tertakluk kepada pihak berkuasa agama setiap negeri. – UTUSAN