Jeti antarabangsa Pelabuhan Klang sunyi

Jeti antarabangsa Pelabuhan Klang sunyi

SUASANA dekat sebuah jeti antarabangsa di Pelabuhan Klang di Klang, Selangor sunyi walaupun sempadan negara dibuka sepenuhnya selepas memasuki fasa endemik bermula Jumaat lalu. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Walaupun negara mula membuka pintu sempadannya kelmarin selepas dua tahun ditutup akibat pandemik Covid-19, namun jeti antarabangsa di Pelabuhan Klang masih sepi kerana belum beroperasi.

Jeti yang terletak bersebelahan jeti ke Pulau Ketam dan pernah dikenali sebagai Kompleks Dato’ Shaari Jihin merupakan terminal bot antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia.

Jeti tersebut sebelum ini pernah digunakan terutamanya pekerja asing dari Indonesia sebelum dihentikan operasi sementara selepas bertukar pengurusan dan pemiliknya.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kompleks tersebut semalam mendapati bangunan dua tingkat itu sunyi walaupun ada dikunjungi beberapa orang yang bertanyakan status operasi terminal itu.

Malah, tidak kelihatan walau satu feri penumpang yang parkir di jeti berkenaan, sekali gus menunjukkan tiada pergerakan keluar masuk penumpang antarabangsa ke negara ini melaluinya.

Seorang penjual tiket bot penumpang di Jeti Pulau Ketam, Lim Kai Wun, 40, berkata, dipercayai kompleks itu sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu.

“Saya tak tahu kenapa pula kompleks itu dah lama tak buka. Sejak tutup, ramai orang datang ke jeti ini untuk bertanya jika kami ada feri untuk perjalanan antarabangsa.

“Kami cakap tiada, sebab jeti di sini adalah untuk kegunaan nelayan dan juga penumpang bagi perjalanan ke Pulau Ketam,” katanya yang sudah lebih 10 tahun bekerja di Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan yang terletak bersebelahan dengan jeti antarabangsa tersebut.

Sementara itu, seorang warga Indonesia, Wirdianto Purnayo, 35, berkata, dia hadir ke Malaysia melalui Terminal Feri Antabangsa di Kukup, Johor kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya tidak tahu jeti ini merupakan terminal antarabangsa ke Indonesia, saya datang hari ini (semalam)  ingat bila kerajaan umum pembukaan sempadan saya bolehlah pulang melalui jeti ini sebab dekat dengan rumah.

“Sebab sebelum ini, lebih tiga tahun saya berulang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk menaiki feri pulang ke Sumatera,” katanya yang tinggal tidak jauh dari jeti berkenaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya