Jenazah Husna Solehah selamat dikebumikan di Kaherah - Utusan Malaysia

Jenazah Husna Solehah selamat dikebumikan di Kaherah

KAKITANGAN Kedutaan Besar dan warga Malaysia di Mesir ketika pengurusan jenazah di Tanah Perkuburan Malaysia Mesir di Bilbies, Kaherah semalam. - WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jenazah Allahyarhamah Husna Solehah Mohd. Salleh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Malaysia Mesir di Bilbies, pinggir Kaherah semalam.

Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, proses pengebumian pelajar yang berasal dari Kelantan itu selesai kira-kira pukul 10 pagi (4 petang waktu Malaysia) Sabtu.

“Urusan pengebumian itu juga dikongsikan bersama pihak keluarga di tanah air secara panggilan langsung video,” katanya menerusi hantaran di laman sosial rasmi kedutaan itu.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail juga berkesempatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pelajar itu manakala mereka pula merakamkan terima kasih atas bantuan kedutaan.

Allahyarhamah merupakan penuntut tahun ketiga jurusan pergigian di Universiti Alexandria di Iskandariah, sebuah bandar pelabuhan terkenal yang terletak 250 kilometer dari Kaherah. Beliau yang berusia 21 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 8 malam kelmarin ketika menjalani rawatan penyakit tuberkulosis di unit rawatan rapi Hospital Elite di Iskandariah.

Pelajar berkenaan dilaporkan sudah lama dimasukkan ke pusat perubatan tersebut sejak 7 April lalu kerana menghidap penyakit berjangkit batuk kering yang menyerang paru-paru beliau. Kedutaan Besar Malaysia juga memaklumkan jenazah pelajar perempuan tersebut disembahyangkan secara berjemaah di Bangunan Mara di Iskandariah.

“Jenazah tersebut sekali lagi disembahyangkan selepas tiba dibawa di Tanah Perkuburan Malaysia Mesir di Bilbies sebelum dikebumikan oleh para petugas di situ. Kedutaan Besar Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan jenazah itu sehingga berjalan lancar,” jelas kenyataan itu.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada sidang akhbar di Kuantan, Pahang turut menzahirkan perasaan takziah dan bersimpati kepada ahli keluarga pelajar terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya