JOHOR BAHRU: Polis Johor memaklumkan jenayah Macau Scam melalui kaedah penyamaran sebagai pegawai kerajaan menunjukkan peningkatan ketara tahun ini berbanding tahun lalu melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM9.5 juta setakat semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusinberkata, jumlah kerugian itu direkodkan daripada 209 kes sejak 1 Januari tahun ini sehingga semalam.
Menurut beliau, itu adalah peningkatan berbanding hanya 90 kes dengan kerugian berjumlah RM2.8 juta, yang menyaksikan peningkatan kerugian sebanyak RM6.6 juta berbanding tahun lalu.
“Kebiasaannya sindiket akan menyamar sebagai anggota polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri mahupun ejen insurans. Orang ramai diminta berwaspada dengan modus operandi yang digunakan sindiket iaitu membuat panggilan kepada mangsa secara terus menggunakan nombor telefon tidak dikenali atau melalui operator.
“Mangsa kemudian diberitahu mempunyai tunggakan cukai, sebelum diarahkan menghubungi nombor lain yang didakwa sebagai anggota penguat kuasa sebelum diminta memberikan butiran berhubung akaun mangsa dan nombor TAC pemindahan dibuat mangsa.
“Semua wang yang dipindahkan mangsa kemudiannya akan dikeluarkan melalui perbankan internet tanpa pengetahuan mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Amran menasihati masyarakat untuk mengikuti beberapa tips disediakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam ini.
“Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengabaikan dan tidak melayan panggilan telefon individu tidak dikenali, jangan dedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak dan jangan panik.
“Ini kerana pihak polis tidak menjalankan siasatan melalui panggilan telefon, selain itu orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan dengan menghubungi mana-mana saluran polis disediakan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE