BALING: Seorang jemaah lelaki meninggal dunia ketika menunaikan solat terawih berjemaah di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai, di sini semalam.
Zamri Saad, 51, dari Lorong Sungai Tas, Kampung Lanai di sini rebah ketika solat pada rakaat ke-20 sebelum disahkan meninggal dunia di masjid itu.
Seorang penduduk, Hashim Osman, 51, berkata, ketika itu arwah solat satu saf dengan jemaah lain dan arwah berada di belakang imam.
“Ketika rakaat ke-20 sebelum tahiyat akhir, tiba-tiba dia rebah dan kami terdengar bunyi dengkuran yang agak kuat. Jemaah sempat menghabiskan solat dan terus mendapatkan arwah yang ketika itu nazak dan kami sempat mengajarnya mengucap syahadah,” katanya ketika ditemui di rumah arwah di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum itu ketika berbuka puasa di masjid tersebut, arwah memaklumkan dia tidak boleh makan masak kurma kambing tetapi minta kebenaran untuk membawa balik sedikit lauk itu untuk anak-anak makan.
“Arwah juga ada mengadu pada jemaah lain dia sakit dada,” jelasnya.
Sementara itu, isterinya, Rohani Mohd. Noor, 51, pula berkata, dia tidak menyangka suaminya meninggal dunia selepas pertama kali berbuka puasa di masjid itu pada Ramadan tahun ini sebelum meninggal dunia ketika solat terawih.
“Semalam, arwah berpeluang ke masjid untuk berbuka puasa kerana sebelum ini dia hanya berbuka puasa di rumah bersama anak-anaknya seramai tujuh orang. Arwah tergerak untuk berbuka puasa di masjid serta solat terawih dan arwah mengajak saya mengikutnya tetapi saya tidak mengikutnya kerana saya mahu solat di surau berdekatan,” kata Rohani.
Katanya, selepas berbuka puasa, arwah yang merupakan bekas pemandu lori balik sekejap ke rumah sebelum pergi semula ke masjid itu untuk solat terawih.
Bagaimanapun tambahnya, abang arwah datang memberitahu suaminya jatuh dan pengsan ketika solat kira-kira pukul 10 malam.
Katanya, dia segera mengajak anak keduanya, Nazirol Zamri, 20, ke masjid untuk melihat keadaan arwah dan apabila sampai di masjid itu dimaklumkan suaminya telah meninggal dunia.
“Arwah sentiasa bangun sekitar pukul tiga pagi setiap malam Ramadan untuk menunaikan solat sunat sehinggalah waktu bersahur. Sejak sakit jantung beberapa tahun lalu, suami saya tidak pernah tinggal solat sehinggalah ke saat akhirnya,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, anak-anaknya juga sudah membeli baju raya yang warnanya sedondon untuk dipakai pada hari raya nanti, bagaimanapun mereka reda dengan kejadian yang berlaku. – UTUSAN