PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memohon kerjasama orang awam bagi ulasan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) untuk satu projek perlombongan emas di Kelantan.
Menerusi hantaran dalam laman sosialnya, agensi itu memaklumkan bahawa ia melibatkan tanah berkeluasan 547 hektar di Mukim Sokor, Daerah Ulu Kusial Jajahan Tanah Merah.
“Projek ini akan ada impak positif dan negatif terhadap alam sekeliling, tetapi langkah mitigasi telah pun dikenal pasti serta diperincikan teliti dalam laporan EIA tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, JAS berkata, projek itu membabitkan pembangunan lombong emas jenis alluvial meliputi empat lot di Hutan Simpanan Kekal Sokor Taku diluluskan kerajaan negeri.
Lokasi berkenaan yang juga dikenali sebagai ‘Golden Belt’ atau Lingkaran Emas, diyakini mampu menyumbang kepada penghasilan komoditi galian emas untuk ekonomi negara.
Menurut JAS, aktiviti perlombongan itu tidak menggunakan bahan kimia dalam pemprosesan dengan jangka hayat operasi selama 2.3 tahun dan pengeluaran 18,000 meter padu sebulan.
“Malahan kawasan kerja deposit yang terlibat dengan perlombongan tersebut hanya sekitar 21.7 hektar manakala jangkaan perolehan rizab dianggar seberat 121,783 gram,” katanya. – UTUSAN