PUTRAJAYA: Malaysia menghadapi ancaman baharu yang lebih besar dalam aspek jangkitan malaria iaitu peningkatan jangkitan malaria zoonotik.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jangkitan malaria zoonotik di Malaysia telah meningkat dengan drastik dari 376 kes pada 2008 kepada 3,575 kes pada tahun lalu.
“Malaria zoonotik juga adalah penyebab utama kematian malaria di Malaysia sejak 2017.
“Peningkatan kes adalah disebabkan oleh pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan yang menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semula jadi malaria zoonotik,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena Sambutan Hari Malaria Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 hari ini.
Jangkitan malaria zoonotik yang disebabkan oleh parasit plasmodium knowlesi ditularkan dari haiwan iaitu beruk atau kera yang merupakan perumah semula jadi bagi parasit itu kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp.
Berbeza dengan malaria manusia, penularan jangkitan malaria zoonotik kerap berlaku di luar rumah.
Pada masa sama, Khairy berkata, kementerian mempertingkatkan keupayaan diagnosis malaria zoonotik melalui kaedah polymerase-chain-reaction (PCR) dan pada masa ini rawatan malaria sedia ada adalah juga berkesan untuk malaria zoonotik.
Menurutnya, cabaran Kementerian Kesihatan dalam menangani malaria zoonotik adalah ketiadaan kaedah kawalan vektor yang berkesan bagi membendung penularan jangkitan di luar rumah.
Oleh itu katanya, jika seseorang bergejala demam dan mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baru pulang dari negara endemik malaria perlu segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan.
Sementara itu beliau memberitahu, pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan dan perhutanan perlu menjalani saringan malaria secara berkala.
“Di samping itu, langkah-langkah pencegahan jangkitan yang boleh diamalkan seperti memakai seluar panjang dan baju berlengan panjang serta ubat penghalau nyamuk (repellent) untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk semasa berada di kawasan berisiko,” katanya. – UTUSAN