KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Sabah menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pemalsuan dokumen berkaitan arahan pembayaran permit masuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Peringatan itu susulan aduan mengenai dokumen tular berkaitan arahan pembayaran permit masuk KDN yang didakwa dikeluarkan oleh JIM Sabah.
Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil semakan pihak JIM Sabah mendapati semua dokumen berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan di Pejabat Imigresen Negeri Sabah.
Untuk itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dan berhubung terus ke Pejabat Imigresen yang terdekat untuk mendapatkan maklumat yang tepat sekiranya ada pihak yang menyatakan boleh menguruskan dokumen mewakili jabatan ini.
Sebarang aduan dan pelaporan boleh disalurkan terus ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Imigresen dilaman sesawang http://imi.spab.gov.my.bagi.
Justeru itu, JIM Sabah bersama agensi penguatkuasa yang lain memohon kerjasama dari rakyat di negeri ini untuk melaporkan sebarang jenis dokumen imigresen yang meragukan bagi membendung serta membanteras kegiatan ini.
Jelas beliau, tanggungjawab ini bukan hanya digalas oleh pasukan keselamatan sahaja malah, ia juga adalah tanggungjawab masyarakat untuk sama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.- UTUSAN