GEORGETOWN: Isu sama ada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Presiden parti dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak harus dipolemikkan kerana ditentukan oleh ahli pada pemilihan parti akan datang.
Veteran politik UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, semua ahli UMNO dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi parti harus memberi sokongan ikhlas kepada Ismail Sabri setelah Majlis Tertinggi (MT) bersetuju mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Sebagai veteran parti, saya sangat yakin UMNO dan BN mempunyai peluang besar untuk membentuk semula kerajaan jika semua anggotanya terutama dalam kalangan pemimpin parti bersifat ikhlas dan mahu melihat semula UMNO menunjangi kerajaan pada PRU-15.
”Bagi saya, keputusan MT UMNO yang sebulat suara bersetuju supaya Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri adalah bijak dan berpandangan jauh demi kepentingan parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, MT UMNO sebulat suara memutuskan untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU15.
Menurut Mohd. Yussof, Ismail Sabri telah membuktikan kemampuannya menjadi Perdana Menteri sekarang dan beliau menunjukkan sikap merendah diri dengan menghormati hierarkri parti.
“Kini fokus harus diberikan untuk memenangi PRU-15 dan untuk menang UMNO harus merapatkan semula saf, singkirkan mereka yang menjadi toksik, singkirkan ‘katak-katak’ dan maafkan mereka yang terkhilaf atau telah insaf,” katanya. – UTUSAN