LANGKAWI: Sebuah jambatan konkrit di jeti Bagan Pauh, Pulau Tuba di sini runtuh secara tiba-tiba petang semalam.
Jambatan sepanjang sembilan meter dan lebar 1.5 meter itu yang digunakan penduduk menaiki bot tambang ke Langkawi serta turun ke laut runtuh pada pukul 6.30 petang.
Insiden tersebut sempat dirakam seorang penduduk, Azizon Azizan, 28, yang menunjukkan empat motosikal hampir tenggelam setelah jambatan itu runtuh dan video berdurasi 16 saat itu dimuat naik ke laman Facebook sebelum tular sejak malam semalam.
Ketika kejadian, dia baru sahaja tiba di jeti tersebut ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Jambatan itu juga menjadi tempat penduduk meletakkan motosikal sebelum menaiki bot tambang di jeti untuk ke pekan Kuah dan menangkap ikan di laut.
“Syukurlah ketika kejadian tidak ramai berada di atas jambatan, cuma empat motosikal terhumban ke laut, tapi dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Azizon, jambatan dan jeti itu sebelum ini diperbuat daripada kayu dan dinaik taraf kepada tiang dan lantai simen lebih 10 tahun lalu.
Tambahnya, keadaan fizikal tiang dan lantai jambatan itu telah lama dalam keadaan uzur sebelum runtuh semalam.
“Sebenarnya tiang dan lantai jambatan dalam keadaan uzur sudah agak lama dan saya tak pasti pihak mana bertanggungjawab membinanya,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya ketika dihubungi memberitahu pihaknya sedang menyiasat kejadian jambatan di jeti tersebut runtuh. – UTUSAN