KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dihantar oleh Serba Dinamik Holdings Bhd. dan pengurusan tertingginya berhubung pendakwaan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.
Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, representasi itu diterima secara bersyarat dan terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.
Representasi tersebut dihantar pada 17 Mac lalu dan diterima oleh AGC pada 7 April lepas.
Ujar beliau, pihak pendakwaan juga telah menyerahkan 90 peratus dokumen perbicaraaan kepada pihak pembelaan pada 7 April lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan kes bagi memaklumkan perkembangan representasi tersebut.
Sementara itu, Hashley ketika ditemui wakil media memberitahu, butiran representasi itu bagaimanapun tidak dapat didedahkan kepada pihak media.
Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi kelima-lima kes melibatkan empat mahkamah iaitu di hadapan Hakim-Hakim Datin Sabariah Othman, Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin dan Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Selain Serba Dinamik, mereka yang didakwa ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah; Pengarah Eksekutif, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi dan Naib Presiden Perakaunan dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman.
Kesemuanya didakwa memberikan kenyataan palsu berhubung angka pendapatan yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.
Kesalahan itu dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad di Bukit Kewangan pada 26 Februari lalu.
Semua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih daripada RM3 juta.
Mohd. Abdul Karim dijamin RM500,000 manakala tiga yang lain sebanyak RM300,000.
Serba Dinamik yang ditubuhkan pada 1993 mempunyai anak syarikat yang mengendalikan tenaga minyak dan gas di peringkat antarabangsa manakala operasinya termasuk di Bahrain, United Arab Emirates (UAE), Singapura, India dan United Kingdom (UK). – UTUSAN