JERANTUT: Isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) sering dijadikan sebagai ‘gula-gula’ bagi memancing undi golongan belia di tanah rancangan itu setiap kali menjelang pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Felda Lepar Utara 3, Mohd. Khairuddin Ayob, 41, berkata, boleh dikatakan sudah dua kali pilihan raya umum (PRU) mereka dijanjikan rumah untuk generasi baharu.
“Pada awalnya kami dijan-jikan rumah, namun setelah melihatkan timbulnya pelbagai isu seperti ketiadaan slip gaji untuk memohon pinjaman dan sebagainya, kami memutuskan untuk memohon tapak lot rumah.
“Permohonan kami diterima di mana tapak yang boleh memuatkan sekitar 290 buah rumah telah dikenal pasti,” katanya memberitahu usaha terbabit telah dilakukan sejak sekitar lima tahun lalu namun sehingga kini masih belum menerima geran untuk tapak berkenaan.
Mohd. Khairuddin juga berkata, kesemua 230 generasi baharu yang layak untuk mendapatkan lot rumah berkenaan telah dikenal pasti dan segala borang dan maklumat yang diperlukan telah lengkap dan dihantar kepada pihak berwajib.
“Kami merupakan Felda pertama dalam negeri ini yang sudah lengkap segala borang dan maklumat, kini hanya menanti kelulusan untuk borang 5A.
“Kami dijanjikan untuk diberikan geran selewatnya pada Februari lalu namun sehingga kini masih belum menerima sebarang keputusan,” katanya.
Tambahnya, sudah lebih lima tahun KAF dan MBFM Felda Lepar Utara 3 memperjuangkan hak generasi baharu untuk memiliki rumah namun sehingga kini isu terbabit masih belum selesai.
“Kami tidak mahu isu ini hanya dijadikan ‘gula-gula’ setiap kali pilihan raya tidak kiralah siapa pun yang memimpin.
“Walau sudah dua kali bertukar pemimpin, namun kami kecewa kerana isu ini sehingga kini masih belum selesai,” katanya.-UTUSAN