PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sedia dipanggil semula Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu aplikasi MySejahtera.
Beliau mengakui sudah berpuas hati dengan keterangan diberikan kepada PAC berhubung isu itu pada 14 April lalu.
Katanya, setakat ini PAC belum menghubunginya bagi meminta memberi keterangan sekali lagi.
“Belum lagi (dipanggil), saya juga tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Pengerusi PAC kerana saya sudah jelaskan semuanya dalam keterangan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program mQUIT Masjid, hari ini.
Semalam Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, memaklumkan, kerajaan ‘keliru’ siapakah yang melantik KPISoft Sdn. Bhd. sebagai vendor aplikasi MySejahtera berikutan tiada kontrak formal antara syarikat itu dengan kerajaan.
Menurutnya, Putrajaya sepatutnya memuktamadkan terma kontrak tersebut dari awal dan bukan hanya membuat tawaran harga kepada vendor sekarang.
Pada 14 April lalu, PAC mengadakan prosiding bersama Khairy dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung isu Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera.
Sementara itu, ditanya sama ada MySJ mempunyai akses terus kepada pangkalan data MySejahtera dan boleh membuat pindaan rekod, Khairy berkata, tindakan itu tidak dibenarkan, malah pihak berkenaan perlu meminta kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu.
“Apa sahaja aduan yang dia (MySJ) dapat sama ada oleh wakil syarikat mesti mendapatkan kebenaran pegawai KKM yang ada bersama sebab MySJ mengurus dan menyelenggara aplikasi itu,” katanya.
Berhubung keputusan memansuhkan keperluan daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, Khairy berkata, pengumuman mengenainya dibuat minggu depan. – UTUSAN