KUALA SELANGOR: Isu penutupan stor di Surau Avenham Garden Eco Grandeur, Puncak Alam di sini, yang menyukarkan aktiviti pengimarahan sempena Ramadan dianggap selesai.
Ia berikutan stor berkenaan diarahkan dibuka serta merta oleh pihak berwajib hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa surau itu, Hafiz Roslan berkata, keputusan berkenaan dicapai menerusi satu perbincangan khas bersama Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan.
Katanya, pertemuan tertutup itu turut disertai Pesuruhjaya Bangunan (COB), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pemaju, Penghulu Mukim dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Avenham Garden.
“Menerusi pertemuan yang diatur Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hari ini, kawasan surau diiktiraf termasuk stor berkenaan yang juga milik surau. Badan Pengurusan Bersama (JMB) diarah membuka semula pintu stor itu dan menanggalkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berdekatan premis itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini Jawatankuasa Surau Avenham Garden dilaporkan kesal dengan tindakan pihak tertentu yang didakwa menafikan hak mereka untuk mengimarahkannya di perumahan elit itu.
Isu itu timbul apabila stor berdekatan surau berkenaan dikunci secara tiba-tiba hingga menyukarkan aktiviti pengimarahan sempena Ramadan seperti berbuka puasa dan moreh.
Ia disedari jemaah yang melihat notis pengosongan oleh JMB ditampal di stor berkenaan, Khamis lalu, sebelum stor itu dikunci dengan mangga baharu pada keesokan harinya.
Jelas Hafiz, dia menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama PDRM yang bekerjasama menyelesaikan isu tersebut.
“Kami bersyukur isu ini diselesaikan dengan baik dan berharap ia tidak berulang pada masa akan datang. Niat kami hanya mahu mengimarahkan surau dengan pelbagai aktiviti agama kepada penduduk,” ujarnya. – UTUSAN