SEREMBAN: Negara memerlukan strategi jangka masa panjang bagi memastikan kemapanan bekalan unggas negara terutamanya membabitkan bekalan ayam.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia antara negara pengguna ayam tertinggi dunia justeru satu dasar mapan untuk penternakan, pembekalan, kawal selia dan pembangunan industri unggas negara sangat diperlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Lembaga Industri Unggas Nasional bagi menerajui dan memajukan industri berasaskan ayam, itik dan unggas lain seperti fungsi yang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Lembaga seumpama ini akhirnya akan mewujudkan satu ekosistem industri unggas yang ‘regulated’ (dikawal selia) dengan dasar yang jelas dan berorientasikan ketelusan lantas mampu memajukan industri unggas, bukan sekadar penternakan dan pembekalan ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Mohamad, laporan Utusan Malaysia yang mengetengahkan isu bekalan dan kenaikan harga ayam menggambarkan situasi tersebut membimbangkan.
Jelas beliau, walaupun ia bukan isu baharu, namun sekiranya masalah berkenaan berlanjutan, ia boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan kecukupan makanan nasional.
“Inovasi makanan ayam juga merupakan salah satu pendekatan yang harus diberi tumpuan. Penyelidikan dan pembangunan dapat membantu inisiatif tersebut, tetapi ia mestilah disokong kukuh oleh pemain industri.
“Pertimbangkan juga pendekatan seperti rebat cukai, insentif pinjaman dengan faedah rendah dan transisi kepada industri berasaskan ayam dan bukan sekadar sektor penternakan ayam,” kata beliau.
Jelas Mohamad lagi, negara sangat memerlukan sektor makanan dan bekalan protein yang berdaya saing bagi memastikan harga berpatutan dan sesuai dengan kemampuan rakyat.- UTUSAN