PETALING JAYA: Pelbagai prosedur dan pindaan beberapa akta perlu dilaksanakan sebelum ‘menghalalkan’ penanaman serta penggunaan ketum di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antaranya pindaan Akta Kanun Tanah Negara dan Seksyen 30 Akta Racun 1952 yang mana ketum mengandungi bahan ‘psychoactive’ boleh menyebabkan leka dan lalai.
Beliau berkata, pihaknya akur dengan sebarang keputusan kerajaan namun banyak prosedur dan proses perlu dilalui.
“Isu ini akan dibincang dengan kabinet, pelbagai aspek memerlukan pandangan pakar-pakar antaranya siapa nak tanam, di mana perlu tanam dan sebagainya jadi akan memakan masa.
“Selain akta racun, Akta Kanun Tanah Negara juga perlu dipinda kerana penanaman ketum tidak salah tetapi petik, jual eksport salah, ia bergantung kepada kerajaan negeri jadi ia menimbulkan kesukaran jadi kena tunggu dan lihat,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Ayob Khan, setakat ini ujian penggunaan ketum hanya dibuat pada haiwan malah tiada ujian pra klinikal dibuat ke atas manusia bagi mengenal pasti kesan sampingan.
“Banyak kajian perlu dibuat contohnya ada mengatakan kalau tanam ketum akan dapat hasil kira-kira RM180 juta setahun.
“Bagaimanapun, kos lain perlu dilihat. Contohnya buat masa ini kita ada kira-kira 130,000 penagih manakala 25 peratus daripadanya (36,000) akan diletakkan di bawah Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Narkotik (Puspen).
“Kos kerajaan untuk menampung makan minum penagih sehari adalah RM45 sehari, untuk setahun mencecah RM500 juta. Itu perlu diambil kira, bukan semudah itu,” katanya.
Tambah Ayob Khan, buat masa ini pihak kerajaan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangasaan (AADK) tidak mempunyai program khas pemulihan bagi penyalahgunaan ketum.
“Ketum ini pada biasanya di utara pada peringkat awal akan digunakan oleh pelajar sekolah. Jadi penagih ketum perlu dihantar di pusat swasta jadi siapa nak bayar kos tersebut. Jadi biarlah kabinet buat keputusan, kita akan akur,” ujar beliau. – UTUSAN