Ismail Sabri tegaskan tidak pernah merayu kepada sesiapa

Ismail Sabri tegaskan tidak pernah merayu kepada sesiapa

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menegaskan, beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana pihak dalam usaha mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bera itu turut menyatakan pemilik portal berita AgendaDaily, Muhamad Izwan Mohd. Zubit yang dinamakan sebagai defendan menulis secara luar konteks ucapan yang dibuat di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada 29 Januari lalu.

“Defendan tidak pernah menghubungi plaintif (Ismail) untuk mendapatkan pengesahan atau penjelas mengenai ucapan yang dibuat di dewan tersebut.

“Sebaliknya, defendan bertindak secara melulu dengan merujuk artikel-artikel yang diterbitkan oleh akhbar-akhbar tempatan semasa menerbitkan artikel berbaur fitnah tersebut,” kata Ismail Sabri dalam jawapan kepada pembelaan Muhamad Izwan.

Tambahnya, tajuk artikel yang diterbitkan oleh portal terbabit apabila dibaca secara sendiri adalah fitnah terhadap Ismail Sabri.

Perdana Menteri dalam jawapannya terhadap pembelaan tersebut turut menyatakan pembelaan kewartawanan bertanggungjawab tidak terpakai dalam kes ini kerana plaintif tidak pernah merayu kepada mana-mana parti politik bagi mengekalkan sokongan.

“Artikel yang diterbitkan bukan dan tidak boleh dianggap sebagai kebimbangan awam atau mempunyai kepentingan awam,” katanya.

Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

Pada 18 Februari lepas, mahkamah membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) Ismail Sabri bagi tujuan serupa namun perintah tersebut hanya berkuat kuasa sehingga 11 Mac ini.

Muhammad Izwan juga diperintah tidak membuat sebarang kenyataan yang membayangkan Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan bahawa beliau ‘rayu’ atau akan ‘rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan terhadapnya.

Menurut penyataan tuntutan Ismail Sabri, pada 30 Januari lalu, defendan menerbitkan satu artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang dikatakan berbaur fitnah.

Artikel terbabit juga telah diterbitkan semula dalam laman sesawang ‘The MalaysiaLife’ yang boleh diakses oleh orang awam.

Ismail Sabri dalam penyataan tuntutannya menyatakan, artikel terbabit antara lain menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan terdesak untuk kekal menjadi Perdana Menteri dalam apa juga cara.

Selain itu, artikel tersebut turut menggambarkan Ismail Sabri sebagai seorang yang mementingkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berbanding kepentingan Malaysia dan rakyatnya dan parti politik UMNO.

Artikel itu juga didakwa dibuat dengan niat jahat bagi menjatuhkan reputasinya sebagai Perdana Menteri dan ahli UMNO.

Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman sesawang dan media sosial kendalian Muhamad Izwan.

Plaintif turut memohon satu perintah mahkamah agar defendan menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

Turut dimohon ialah permohonan maaf daripada defendan dalam bentuk yang akan ditentukan oleh plaintif yang akan diterbitkan dalam laman sesawang dan di 21 akhbar tempatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Ismail Sabri turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Sementara itu, Muhamad Izwan, 37, dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Ismail Sabri.

Muhamad Izwan turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel berkenaan mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya