KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi UMNO setuju untuk mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam Majlis Berbuka Puasa bersama UMNO, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengeluarkan kenyataan tersebut.
“MKT UMNO sebulat suara mencadangkan agar Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang,” katanya.
Menerusi kenyataan media yang sama, Ahmad juga memaklumkan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) tidak diteruskan.
“MoU yang akan berakhir pada 31 Julai 2022 ini tidak akan diteruskan lagi manakala pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa kompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan.
“UMNO berpendirian bahawa akta tersebut mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya. – UTUSAN