GERIK: Cadangan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu, tidak menggambarkan pandangan akar umbi UMNO.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu hanya pandangan peribadi Annuar dan ia tidak mudah dilaksanakan kerana sebarang keputusan perlulah berdasarkan kepada Perlembagaan BN.
“Apa yang Tan Sri Annuar sebut adalah cadangan beliau. Pada saya, ia adalah pandangan peribadi. Apa-apa pun, kena lihat semula Perlembagaan BN.
“Saya tertarik mendengar hujah Tengku Adnan (Ahli Parlimen Putrajaya) yang mana pernah menjadi Setiausaha Agung UMNO, bahawa dalam Perlembagaan BN menetapkan pengerusi mestilah datang daripada presiden parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Ladang Tanaman Semula Komersil (TSK) Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Dala 8 dan Dala 9 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd. Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Risda Plantation Sdn. Bhd., Mohamad Arif Ismail.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan semalam memberitahu, sudah tiba masanya Ismail Sabri diangkat sebagai Pengerusi BN dan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN yang kini disandang oleh Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, jentera BN Perak bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa termasuk selepas sambutan hari raya Aidilfitri.
Katanya, perjumpaan dan mesyuarat dalam kalangan pengerusi BN Bahagian sentiasa diadakan di mana beliau sendiri memantau gerak kerja dan memberi motivasi kepada jentera.
“Hampir keseluruhan kawasan Parlimen atau BN Bahagian bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa sama ada tahun ini atau tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN .