ARAU : Kesepakatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menutup terus ruang krisis, polemik atau adu domba broker politik berhubung soal tersebut.
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, kesepaduan yang ditunjukkan itu menunjukkan parti terus kukuh dan bersatu hati.
Katanya, penamaan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri itu juga diyakini membantu ke arah pemerkasaan ekonomi, pembangunan negara dan terus fokus kepada isu rakyat.
“Cadangan ‘top 5’ yang dibentang di dalam MKT (Ismail Sabri calon Perdana Menteri ) mendapat persetujuan sebulat suara.
“Cadangan tersebut sekali gus menutup segala spekulasi, polemik yang dibangkitkan sebelum ini dalam soal calon Perdana Menteri. Ia turut menutup ruang krisis, adu domba broker politik dan itu yang kita hendak hentikan.
“Tentunya keputusan ini juga memadamkan sebarang spekulasi bahawa UMNO berpecah, UMNO bermusuh selain merungkai kekusutan ahli-ahli UMNO di bawah, bahkan, ia bakal memberi semangat baharu dalam persediaan menghadapi PRU15, Insya-Allah,” katanya.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi kenyataan di ibu negara memaklumkan MKT sebulat suara memilih Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.
Mengulas lanjut, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, apa yang dibawa oleh Ismail Sabri lebih kepada kestabilan.
“Ia termasuk dalam soal kestabilan hubungan parti kerajaan dan pembangkang demi kepentingan rakyat. Selain itu, dapat dilihat daripada kestabilan ekonomi dan politik.
“Kita terus maju ke hadapan dan dengan penamaan Ismail Sabri sebagai calon (Perdana Menteri) Insya-Allah, akan membantu dalam soal pemerkasaan ekonomi, pembangunan negara dan fokus isu rakyat,” katanya.
Sementara itu, Fathul Bari turut menyambut baik keputusan penubuhan jawatan kuasa perhubungan parti dan kerajaan.
“Melalui jawatan kuasa ini, sebarang isu atau permasalahan mahupun kekhilafan, semuanya perlu dibincangkan agar keputusan yang bijaksana terhasil. Inilah semangat syura yang dinanti-nantikan oleh ahli-ahli parti bahkan rakyat secara umumnya.
“Mereka semua ingin melihat pemimpin sentiasa berbincang mencari solusi khususnya bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan mereka bukan sentiasa berbalah, bertikam lidah dan berpolitik tanpa sempadan,” katanya.-UTUSAN