PETALING JAYA: Keputusan menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjadi bukti Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak berpecah.
Justeru, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan perkara itu dapat membantu parti merancang berhubung hala tuju dan kesinambungan dasar yang dilaksanakan sebelum ini.
“Alhamdulillah, dengan sebulat suara MKT UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) bagi PRU-15.
“Ini jelas membuktikan kepimpinan parti bersatu padu dan tidak ada perpecahan dalam MKT.
“Ini memudahkan tugasan pimpinan parti untuk merencanakan hala tuju negara demi kestabilan dan kesinambungan dasar-dasar negara agar kesejahteraan dan keharmonian rakyat terus terbela di bawah BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Shahril menambah, keputusan itu juga menunjukkan pimpinan utama parti sentiasa komited dalam membela nasib rakyat, biarpun sering berdepan tohmahan.
“Terima kasih Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah beberapa kali berjiwa besar dalam membuat keputusan demi negara.
“Biar diserang kiri kanan, kedua-dua tokoh ini tetap komited memastikan BN meneruskan agenda membantu dan membela nasib rakyat,” jelasnya. – UTUSAN