SHAH ALAM: Pas Selangor menyokong cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dalam satu kenyataan berkata, Ismail disifatkan sebagai seorang pemimpin yang berintegriti tinggi dan diterima rakyat.
“Beliau membuktikan kemampuan sebagai seorang Perdana Menteri yang berjaya terutama dalam menyatupadukan rakyat di bawah konsep Keluarga Malaysia.
“Selain itu, beliau berupaya mengemudi negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dan memulihkan kesannya ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi,” katanya.
Semalam, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail yang juga Naib Presiden sebagai poster boy atau calon Perdana Menteri bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan turut membuat ketetapan bahawa kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai depan tidak akan diteruskan lagi.
Selain itu, pembentangan Akta Anti Lompat Parti perlu diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa kompromi bagi memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara serta dihormati.
Dalam pada itu, kata Ahmad Yunus, Pas Selangor cukup rapat dan memiliki pengalaman bekerja yang baik dengan Ismail.
“Ia terutama ketika beliau mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) Selangor selaku Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan negeri dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sehingga berjaya mengalahkan calon PH.
“Semangat beliau untuk menyatupadukan ummah dan membina kekuatan Muafakat Nasional (MN) Selangor ketika itu mencerminkan jati diri sebagai pemimpin berkaliber serta mempunyai masa depan baik,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya mendoakan supaya cadangan itu kekal dan terlaksana selepas PRU15 kelak.
“Ia disusuli harapan kestabilan negara dapat dikecapi dan rakyat hidup aman sejahtera,” katanya. – UTUSAN