Integriti ujian mendengar sesi kedua SPM dijamin utuh

Integriti ujian mendengar sesi kedua SPM dijamin utuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa integriti Ujian Mendengar bagi sesi kedua Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 kekal utuh.

Perkara tersebut ditegaskan menerusi kenyataan sebagai mengulas keputusan LP masih lagi menggunakan bahan audio dan kertas soalan daripada sesi pertama untuk calon sesi kedua.

“LP yakin bahawa integriti kekal utuh malahan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM 2021 juga adalah terjamin,” jelasnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, LP memaklumkan keputusan penggunaan daripada sesi pertama itu dibuat berdasarkan pertimbangan kertas soalan ujian tersebut diklasifikasikan sebagai kertas tertutup.

Ia juga tidak boleh dibawa keluar oleh calon dari dewan atau bilik peperiksaan dan sekiranya apa-apa maklumat disampaikan kepada pihak lain, ia hanya dalam bentuk ringkasan wacana.

Pihak LP turut mengambil kira pertimbangan bahawa soalan ujian itu adalah dalam pelbagai kaedah iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan juga subjektif respons terhad.

Justeru, calon terbabit ujar LP, perlu teliti mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan ketika ujian mendengar berkenaan.

“Sekiranya calon pernah menerima maklumat daripada pihak lain yang berkaitan audio itu, calon tetap masih lagi perlu ada kefahaman dan tafsiran masing-masing untuk menjawab tepat.

Ujian mendengar sesi kedua itu telah dijalankan di seluruh negara serentak pada 7 April lalu untuk calon yang diberi kelonggaran tidak dapat mengambil peperiksaan SPM sesi pertama.

Ia dikhususkan untuk pelajar yang disahkan kuarantin kerana isu Covid-19, banjir besar dan pengecualian khas lain oleh Pengarah Peperiksaan bermula 5 April sehingga 19 Mei depan.

Sesi tersebut merangkumi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar masing-masing bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta hari terakhir melibatkan hanya Ujian Amali Sains.

Sebelum itu, sesi pertama sudah pun berlangsung dari 8 Februari sehingga 29 Mac lalu dan ia turut membabitkan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa dan Ujian Bertulis Sains.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya