Industri teknologi dalam silibus pendidikan sains - Utusan Malaysia

Industri teknologi dalam silibus pendidikan sains

DR. Adham Baba (tiga kiri) bersama Norlizah Noh melihat dron ketika hadir pada program CSR Sekolah Angkat 'Fly With Meraque' di Dewan Majlis Daerah Kota Tinggi, Bandar Tenggara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi memperkenalkan industri teknologi dalam silibus pendidikan sains.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan merancang untuk melibatkan industri berkenaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Katanya, satu memorandum terhadap STEM akan dibawa kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“MOSTI akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan, saya dimaklumkan mereka akan bawa memorandum kepada Kabinet mengenai STEM dan penggunaanya kepada kerajaan. MOSTI akan memberi ulasan supaya teknologi seperti reka bentuk, penggunaan artificial intelligence (AI) dimasukkan seawalnya dalam kurikulum dan kokurikulum sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sekolah Angkat ‘Fly With Meraque‘ di Dewan Majlis Daerah Kota Tinggi Pejabat Cawangan Bandar Tenggara, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah Noh; Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Omar Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Meraque Services Sdn. Bhd., Razali Ismail.

Dr. Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, setakat ini teknologi dron juga belum dimasukkan ke dalam silibus sains secara rasmi.

“Cuma dahulu kita ada Formula One In Schools tapi sekarang ini dengan adanya teknologi dron, saya bersama JPNJ (Jabatan Pendidikan Negeri Johor) akan memulakan usaha supaya aktiviti yang berkaitan kokurikulum dalam sekolah, institut pengajian tinggi atau institut kemahiran turut dibekalkan kepada masyarakat.

“Jadi kita berusaha supaya dalam masa terdekat ini ada teknologi seperti ini. Saya difahamkan dalam kurikulum reka bentuk sudah ada reka bentuk dron dan ini juga diambil kira dalam silibus,” katanya.

Sementara itu, tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang Bandar Tenggara, SMK Sultan Alauddin Bukit Besar dan SMK Taman Scientex Pasir Gudang dipilih sebagai sekolah angkat Meraque Services dalam usaha memajukan industri dron dan teknologi berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya