Imbau titah Sultan Johor, utamakan rakyat - Puad

Imbau titah Sultan Johor, utamakan rakyat – Puad

MOHD PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor supaya mengimbau semula titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tahun lalu.

Mohd. Puad yang juga ADUN Rengit berkata, berdasarkan titah Sultan Johor, rakyat harus menjadi keutamaan dalam sebarang pelan tindakan yang mahu dilakukan di negeri itu.

Malah, beliau menyifatkan pelantikannya sebagai Speaker adalah penghormatan tinggi dan memberi jaminan untuk menjalankan tugas sebaik mungkin seperti sumpah dilafazkan.

“Justeru, ahli-ahli Yang Berhormat marilah kita berbahas secara kritikal tetapi konstruktif sebagai pembina sendi-sendi negara dan bangsa. Suka saya ingatkan agar semua ADUN menjadikan titah Sultan Ibrahim sebagai panduan supaya tidak menjadikan persidangan Dewan sebagai ‘sangkar beruk’.

“Ingin saya ingatkan Dewan ini menjadi tempat kita berbincang dan berbuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. Jangan cemarkan Dewan mulia ini dengan perangai buruk. Ini adalah Dewan mulia bukan ‘dewan sangkar beruk’,” katanya memetik titah tersebut.

Mohd. Puad, 64, adalah calon tunggal dicadangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disokong ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri.

Pada 12 Ogos tahun lalu, Sultan Ibrahim mengingatkan kesemua 56 ADUN di negeri itu agar tidak membawa apa-apa usul yang tidak berkenaan sepanjang persidangan DUN, ketika bertitah pada pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14.

Dalam pada itu, Mohd. Puad merakamkan penghargaan kepada bekas Speaker DUN, Suhaizan Kaiat dan Timbalan Speaker, Gan Pek Cheng atas khidmat kedua-dua mereka sejak 2018.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat menang kerusi Rengit dengan majoriti 1,930 undi,  menewaskan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dan bekas ADUN Senggarang, Khairuddin A. Rahim (PKR).

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universities of Northern California, Amerika Syarikat dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan ketika menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat bermula 2008 hingga 2013. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya