KUALA TERENGGANU: Ibu bapa di negeri ini ditegur agar tidak merisikokan nyawa bayi dan kanak-kanak dengan membawa golongan itu ke tempat tumpuan ramai termasuk bazar Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sebagai negeri kedua tercorot bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) tindakan sedemikian mampu mengundang mudarat kepada kesihatan anak-anak terutama yang belum divaksin.
Malah, katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila segelintir golongan itu tidak dipakaikan sebarang pelitup muka.
“Masih ramai kanak-kanak berusia lima tahun ke atas belum mendapat perlindungan vaksin dan tentunya berbahaya jika mereka terkena jangkitan.
“Kalau sayangkan anak-anak, tinggalkanlah mereka di rumah atau ibu bapa boleh turun secara bergilir-gilir membeli juadah berbuka kerana terdapat macam-macam orang di bazar dan mungkin ada di antara pengunjung itu yang positif Covid-19 tanpa gejala,” katanya kepada pemberita selepas melawat bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia selama kira-kira dua jam di lokasi sama mendapati kebanyakan bayi dan kanak-kanak tidak dipakaikan pelitup muka oleh ibu bapa walaupun suasana bazar sesak dengan pengunjung.
Setakat semalam, kadar vaksinasi PICKids di Terengganu hanya 12.6 peratus.
Dalam perkembangan lain, Alias berkata, sebanyak satu kompaun dikeluarkan kepada pengunjung di Dataran Shahbandar gara-gara meninggalkan sampah sisa makanan selepas berbuka di tempat awam, setakat hari keempat Ramadan. – UTUSAN