SEPANG: Ibu bapa mana yang tidak bangga apabila hasil karya seni anak mereka dipamerkan di pintu udara utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun, di sebalik rasa bangga itu terselit kisah sedih apabila anak mereka, Noah Iskandar Fuad, 26, tidak sempat melihat sendiri karyanya itu kerana dijemput Ilahi pada Ogos tahun lalu.
Arwah Noah yang juga pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Senibina, Universiti UCSI terpilih dalam kalangan empat karyawan tempatan yang mana hasil seni mereka kini dipamerkan di empat lapangan terbang antarabangsa di negara ini.
Karya yang dikenali sebagai Polyhedron Pavilion itu direka berdasarkan kajian geometri yang berasal dari budaya tatu suku kaum Malaysia Timur.
Bapa Noah, Fuad Abdullah, 57, ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka bahawa karya arwah anaknya itu terpilih untuk dipamerkan di KLIA ini.
Katanya, dia bersama isteri, Louise Manjaji, 55, akui gembira kerana akhirnya karya anaknya itu berjaya dibina dan ia seratus peratus sama seperti yang direka anaknya.
“Noah sebenarnya menunggu karyanya ini dibina di KLIA namun, dia tidak sempat untuk melihatnya sendiri kerana dijemput Ilahi,” katanya ketika ditemui di KLIA, di sini semalam.
Katanya, arwah sebenarnya sudah mengetahui bahawa karyanya terpilih selepas diumumkan Balai Seni dan Visual Negara pada Mei tahun lalu, malah tidak sabar untuk melihat karya itu direalisasikan.
Difahamkan, sepatutnya pavilion itu dibina lebih awal, namun tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Karya itu kemudian dibina University UCSI dengan kerjasama ZLG Design dan Media Signs Sdn. Bhd. sebelum siap sepenuhnya Februari lalu.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri turut berkesempatan melihat Polyhedron Pavilion itu di KLIA sempena majlis pelancaran KUL Art Airport, hari ini. –UTUSAN