Hujan meteor Lyrid pagi esok dijangka sukar dilihat - Utusan Malaysia

Hujan meteor Lyrid pagi esok dijangka sukar dilihat

TANGKAP layar daripada Mysa mengenai fenomena hujan meteor Lyrid dengan kemuncaknya dijangka berlaku awal pagi 23 April 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para peminat astronomi tempatan dijangka berdepan kesukaran untuk menyaksikan kemuncak hujan meteor Lyrid yang berlaku seawal pukul 2 pagi esok di seluruh negara.

Menurut hantaran Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), fenomena alamiah angkasa itu sudah dapat dilihat selama lapan hari bermula 18 April lalu sebelum berakhir pada Isnin depan.

“Bagaimanapun kenampakan hujan meteor tersebut dijangka kurang baik disebabkan oleh gangguan dari bulan fasa suku akhir ketika kemuncak pancuran ini berlaku,” jelasnya.

Berdasarkan kajian sejarah, fenomena tahunan itu mula direkodkan oleh sejarawan China kuno, Zuo Zhuan pada tahun 687 Sebelum Masihi kerana curahan meteor seumpama hujan.

Ketika kemuncak, ia kelazimannya menyaksikan lebih sedozen meteor meluncur di angkasa per jam dengan tahun ini, saintis astronomi meramalkan purata sejumlah 18 meteor sejam.

Seorang wartawan di Amerika Syarikat pada 1803 pernah merekodkan sejumlah 700 meteor per jam, namun rekod tertinggi dapat disahkan ialah pada 1982 dengan 90 meteor sejam.

Mengulas lanjut, Mysa menambah, hujan meteor Lyrid merujuk kepada titik kemunculan asal di langit iaitu di kawasan buruj Lyra tetapi ia masih boleh berlaku dari pelbagai arah berbeza.

 “Lyra pula ialah buruj bersaiz kecil yang merangkumi sekumpulan bintang dan kedudukannya berlambangkan seumpama alat muzik bertali disebut sebagai harp,” jelas agensi tersebut.

 Gugusan bintang ini mula disenaraikan pakar astronomi Mesir Kuno abad kedua Masihi, Ptolemy dengan lokasinya dikelilingi empat buruj iaitu Draco, Hercules, Vulpecula dan Cygnus.

 Fenomena ini ujar Mysa, berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet dengan kod C/1861 G1 atau lebih dikenali Komet Thatcher.

 Komet tersebut dianggarkan mengambil masa selama 415 tahun untuk melengkapkan satu pusingan orbitnya dan akan membebaskan debu ketika ia terbang menghampiri matahari.

 Kejadian itu disebabkan proses pemejalwapan yang akan berserakan membentuk laluan sisa komet dan akhirnya terbakar sebagai jalur sinar panjang ketika melintasi atmosfera bumi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya