KUCHING: Kerja membina bangunan hotel Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Jalan Ong Tiang Swee di sini berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya Jun tahun depan.
Presiden DBNA, Datuk Ik Pahon Joyik berkata, hotel komuniti yang dibina dengan kos perbelanjaan RM18 juta itu akan mempunyai 120 bilik dan ruang pejabat pentadbiran.
Beliau berkata, kerja pembinaan telahpun dimulakan sejak Mei tahun lalu di atas tapak bekas bangunan ibu pejabat dan hostel DBNA.
Dengan itu bangunan yang lama itu terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan hotel berkenaan.
Pahon yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berkata geran berjumlah RM18 juta untuk kos pembinaan bangunan hotel itu disumbang sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Apabila siap kelak hotel berkenaan akan mempunyai 120 bilik penginapan dan ruang pejabat pentadbiran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat DBNA, hari ini.
Manakala, hotel berkenaan serta kompleks DBNA akan diuruskan oleh sebuah syarikat swasta yang akan dilantik kelak.
Pada Jan 2020, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk DBNA memulakan projek pembinaan hotelnya yang sudah sekian lama tertangguh.
Abang Johari membuat pengumuman itu semasa Perhimpunan Tahun Baharu DBNA 2020 sempena majlis jamuan malam sambutan ulang tahun ke- 65 tahun DBNA di dewan serba guna persatuan itu pada 20 Jan 2020.
Dalam ucapannya pada majlis yang dihadiri kira-kira 2000 masyarakat Bidayuh, Abang Johari telah berkata, bahawa pengumuman yang beliau buat itu bukan angin panas (hot air) tetapi yang pasti ditunaikan, dan ya benar beliau tunaikan.
Sementara itu, bangunan dewan serba guna dan “baruk” yang dibina dengan kos RM8 juta peruntukan kerajaan pusat kini menjadi mercu tanda di bandaraya Kuching serta menjadi kebanggaan masyarakat Bidayuh.
Pahon mengucapkan terima kasih kepada premier Sarawak yang telah meluluskan peruntukan RM18 juta bagi pembinaan hotel tersebut dan juga kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan RM8 untuk pembinaan dewan serba guna dan “baruk” DBNA.
“Kita berharap dengan siapnya pembinaan hotel komuniti itu nanti lebih banyak program dan aktiviti dapat diadakan, bukan sahaja untuk masyarakat Bidayuh di bandar tetapi juga untuk mereka yang dari luar bandar yang memerkukan tempat penginapan yang mampu mereka bayar,” kata Pahon.
DBNA memulakan perancangan untuk membangunkan hotel komuniti itu sejak tahun 2007, tetapi kekangan kewangan memaksakan ia ditangguhkan.
Bangunan ibu pejabat DBNA pertama yang diperbuat daripada kayu dibina pada tahun 1963 di atas tapak yang diberi oleh kerajaan negeri di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching dengan kos RM13,000.
Bangunan tersebut telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri pertama Sarawak Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan pada 28 Disember 1963.
Pada tahun 1982 bangunan ibunpejabat yang lebih besar telah dibina dengan kos RM500,000.
Sementara itu, pada tahun 2010 persatuan itu membangunkan bangunan serba guna dan “baruk” dengan kos RM8 juta.- UTUSAN