KUALA TERENGGANU: Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta menghentikan serangan terhadap calon Timbalan Presiden, Mohd. Rafizi Ramli bagi memastikan proses pemilihan kali ini dapat berjalan dalam suasana politik matang.
Aktivis politik, Yuslaini Azmi berkata, tindakan memburukkan lawan atau budaya membodek demi merebut jawatan tidak sepatutnya dilakukan kerana boleh mencemarkan semangat juang parti
Katanya, dalam adat berorganisasi, mana-mana pihak berhak untuk bergiat aktif atau tidak aktif tanpa sebarang halangan atau sekatan.
“Saya meneliti kenyataan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman yang beberapa kali menyindir Mohd. Rafizi sejak kemunculan semula pemimpin itu dalam arena politik tanah air.
“Saya khuatir dengan budaya memburukkan ahli parti menerusi kenyataan yang tidak sepatutnya, sedangkan kepemimpinan tertinggi parti lebih mengetahui cerita sebenar, namun memilih untuk tidak menyerang Mohd. Rafizi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan kenyataan Syed Badli yang meminta Mohd. Rafizi memahami nilai adab kerja berpasukan dalam perjuangan parti.
Saranan itu susulan tindakan Mohd. Rafizi mencabar pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon-calon jawatan tertinggi lain agar menyatakan pendirian masing-masing berhubung hala tuju parti dan strategi gerak kerja.
Sehubungan itu, Yuslaini berharap ahli-ahli PKR dapat merapatkan kembali saf dan meraikan demokrasi dengan mengurangkan serangan peribadi antara satu sama lain. –UTUSAN